Home Politik Parlimen Digital: Beri kepercayaaan anak muda bersuara

Parlimen Digital: Beri kepercayaaan anak muda bersuara

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memperbaiki kepercayaan menerusi kebebasan bersuara dalam kalangan anak muda secara ilmiah dalam usaha membantu proses membina negara berintegriti serta memperkasa pemerintahan yang baik.

Ketua Wira Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, keadaan dunia tanpa sempadan hari ini, tiada siapa yang boleh mengawal perkembangan teknologi dan revolusi digital.

Katanya, kerajaan seharusnya peka dan bergerak seiring dengan arus peredaran zaman di mana pelbagai platform dan aplikasi yang direkacipta untuk tujuan sosial dapat dimanfaatkan sebagai wadah pendidikan bentuk baharu dan lebih bermanfaat.

“Wira Putra positif dengan usaha mengwujudkan Parlimen Digital yang memberi ruang dan peluang anak-anak muda berdebat dan berpidato atas paksi demokrasi.

“Ia juga merupakan satu pendidikan dan pendekatan yang baik bagi meningkatkan kefahaman fungsi, peranan dan kaedah demokrasi di kalangan generasi muda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nasrul Ali Hasan lagi, meraikan kebebasan bersuara rakyat khusus dari kalangan anak muda secara intelek akan menggalakkan sistem demokrasi berkembang dengan positif.

Menghalangnya bukan sahaja akan merencatkan kefahaman malah dilihat sebagai kebelakang dan seolah-olah kerajaan mahukan anak muda sekadar menjadi pak turut dan menjadi katak di bawah tempurung, katanya.

Tambah beliau, sepatutnya anak muda pada ini di angkat dan diberi peluang untuk meluahkan rasa dan menghujah pendapat berdasarkan isu-isu semasa yang membebankan rakyat.

Langkah itu katanya, sedikit sebanyak melatih anak-anak muda untuk membanyakkan pembacaan agar hujah penuh fakta dan idea menjadi lebih bernas.

“Wira Putra menolak sebarang unsur menghalang daripada revolusi politik melalui Parlimen Digital ini yang menyekat anak muda daripada menyuarakan pendapat dan memberi hujah yang baik dalam memperkukuh pentadbiran negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette