Home Nasional 1MDB: MCA Pahang gagal dapatkan kembali RM835,000

1MDB: MCA Pahang gagal dapatkan kembali RM835,000

Peguam MCA Pahang, Datuk Ben Chan berjalan keluar selepas keputusan kes lucut hak MCA Pahang berjumlah RM835,258.19 yang disita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan tuntutan Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyita RM835,258.19 milik MCA Pahang.

Wang sitaan itu didakwa hasil penyewelangan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika membuat keputusan petang tadi berkata, pendakwaan berjaya membuktikan wang itu adalah daripada hasil aktiviti haram.

Kata Muhammad Jamil, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa wang RM835,258.19 dikaitkan dengan wang RM3 juta yang diterima MCA Pahang adalah daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2013.

Jelasnya, dana itu telah dikaitkan dengan hasil daripada aktiviti haram.

“Mahkamah mencapai kesimpulan itu dengan bergantung pada beban pembuktian perbicaraan sivil melalui keseimbangan kemungkinan, di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

“Juga tidak perlu pihak pendakwaan mendapatkan sabitan dalam kes jenayah yang berkaitan dengan Najib sebelum meneruskan saman pelucutan sivil terhadap MCA Pahang,” katanya ketika proses mahkamah terbuka hari ini.

Berikutan itu, beliau membenarkan tuntutan sivil oleh SPRM untuk menyita nilai itu daripada MCA Pahang.

MCA Pahang merupakan antara 41 kumpulan, syarikat dan individu yang menjadi sasaran dalam saman SPRM yang membuat tuntutan penyitaan wang berjumlah RM270 juta yang didakwa berasal daripada syarikat, 1MDB.

Muhammad Jamil berkata, responden juga tidak pernah menafikan mereka telah menerima sumbangan sebanyak RM3 juta daripada Najib pada Mac 2013 yang juga telah dibelanjakan.

Manakala baki sebanyak RM835,258.19 yang tinggal dalam akaun tersebut didakwa dari sumber lain.

“Responden telah gagal membuktikan baki akaun sebanyak RM835,252.19 itu dengan mengemukan sebarang dokumen atau penyata bank mengatakan dana itu datangnya dari sumber lain,” ujarnya.

Kes ini telah diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala MCA Pahang pula diwakili Ben Chan dan Ken Low.

Menurut Ben Chan, pihaknya akan berbincang dengan anak guamnya berhubung proses rayuan sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette