BEIJING – Sekurang-kurangnya 21 orang telah maut dan 15 cedera selepas sebuah bas terjun ke dalam sungai.
Semasa kejadian bas itu bergerak di atas sebuah jambatan di Anshun, di wilayah Guizhou lalu merempuh penghalang di tepi jalan dan jatuh ke dalam air.
Mereka yang berada di dalamnya dilaporkan termasuk pelajar yang dijadualkan mengikuti ujian kemahiran bagi kemasukan ke universiti, kata media negeri.
Punca kemalangan kini sedang disiasat.
Pemandu bas, antara yang terkorban, telah bekerja di laluan tersebut sejak tahun 1997, kata Xinhua.
Setakat ini tidak diketahui berapa jumlah penumpang berada dalam bas berkenaan semasa kejadian. Namun bas berkenaan berjaya dikeluarkan pada Selasa petang.
Jabatan Bomba Guizhou mengesahkan di laman Weibo malam tadi bahawa usaha mencari dan menyelamat diteruskan.
Kira-kira 141 anggota penyelamat, termasuk 19 penyelam kini terlibat dalam usaha mengesan mangsa-mangsa.
Rakaman video dari kejadian itu menunjukkan bas bergerak perlahan di jalan sebelum membelok ke kiri secara tiba-tiba, melintasi enam lorong laluan berkembar, menembusi halangan lalu terjunam ke dalam air. – MalaysiaGazette