Home Nasional Lanjutkan tempoh moratorium – Ahmad Zahid

Lanjutkan tempoh moratorium – Ahmad Zahid

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Sektor perbankan dalam negara mampu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi merancakkan ekonomi negara dengan melanjutkan tempoh moratorium.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan tempoh moratorium dilanjutkan berkata, beliau yakin ia tidak akan merugikan bank, sebaliknya hanya akan mengurangkan keuntungan bank sahaja.

Malah menurut beliau, laporan Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa bank-bank di negara ini berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu untuk bertahan sekiranya keuntungan berkurang.

“Pada pandangan saya tempoh moratorium yang bakal tamat pada September ini wajar dilanjutkan lagi sehingga penghujung tahun ini atau suku pertama tahun 2021.

“Dengan tempoh moratorium dilanjutkan, maka penguncupan mendadak tingkat perbelanjaan domestik dalam ekonomi dapat dielakkan,” katanya dalam hantaran pada laman Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya peminjam perlu membayar pinjaman ketika ini, ia bukan sahaja membebankan peminjam ketika banyak sektor perniagaan dan industri terpaksa tutup akibat Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) serta ramai pekerja dipotong gaji dan dibuang kerja, malah ia akan mengakibatkan agregat perbelanjaan dalam ekonomi domestik menguncup sebanyak RM40 bilion.

Justeru, andai kata moratorium tidak dilaksanakan, ia hanya akan lebih merugikan sektor-sektor lain, ujar bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Tambahnya, moratorium yang sedang berlangsung merupakan satu komponen penting yang menyumbang kepada keberkesanan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Malaysia.

Katanya, kemudahan itu telah memberikan manfaat yang sangat besar bukan sahaja kepada peminjam, malah ia merupakan antara polisi penting yang berjaya menyelamatkan ekonomi negara kerana ia telah mempertahankan tingkat perbelanjaan sektor domestik (isirumah dan perniagaan) daripada terus merudum. – MalaysiaGazette