KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman difailkan terhadapnya oleh bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili Yeo semasa mengesahkan perkara itu berkata permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan defendan (Jamal) pada 25 Jun atas alasan saman itu terlalu awal kerana siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Mahkamah menetapkan 23 Julai bagi pendengaran permohonan membatalkan saman itu,” katanya kepada media selepas pengurusan kes yang berlangsung di dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusof.
Peguam itu berkata hakim turut menetapkan 9 Nov untuk mendnegar saman itu, sekiranya mahkamah menolak permohonan untuk membatalkan saman itu.
Jamal diwakili peguam Mohamad Fauzi Abdul Samad.
Pada 14 Jun, 2017, Yeo, selaku plaintif memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Jamal berhubung kenyataan memfitnah berkaitan dakwaan menyalahgunakan dana Yawas.
Dalam pernyataan tuntutannya, Yeo yang merupakan Ahli Parlimen Bakri, mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan memfitnah pada 21 Mac, 2017, dan kenyataan itu telah diterbitkan oleh beberapa akhbar, portal berita dan dalam akaun Facebook Jamal.
Yeo mendakwa kenyataan Jamal, antara lain, memberi tanggapan yang beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika dan tidak boleh dipercayai.
Selain ganti rugi am RM5 juta, Yeo juga menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi untuk menghalang Jamal daripada mengulangi dakwaannya itu.
— BERNAMA