SIBU – Bermula 1 Ogos ini, Brunei Darussalam akan mengenakan caj sebanyak B$3 (kira-kira RM9.18) ke atas setiap individu yang keluar/masuk ke negara itu melalui pos-pos kawalan sempadan daratnya.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam dalam satu kenyataan hari ini berkata, caj berkenaan dikuatkuasakan di bawah Perintah Bayaran-Bayaran Keluar dan Masuk 2020 yang memberi kuasa kepada Pengawal Kastam dan Eksais Diraja negara itu berbuat demikian.
“Objektif utama pelaksanaan caj ini adalah untuk menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang telah dikenakan dan berjalan pada masa ini kepada orang ramai yang keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan berkenaan, caj itu akan dikenakan kepada semua warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang hendak keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun yang berjalan kaki.
Bagaimanapun, caj ini dikecualikan ke atas individu-individu yang berada di dalam kenderaan milik kerajaan Brunei dan kerajaan negara luar untuk tujuan rasmi, kenderaan untuk tujuan pengebumian, petugas konsulat, petugas kerajaan Brunei Darussalam yang menjalankan tugas rasmi dan kanak-kanak berumur dua tahun ke bawah.
Kementerian itu berkata, mereka yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar/masuk Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat hendaklah mendaftar secara dalam talian menerusi Exit and Entry System (EES) Jabatan Kastam dan Eksais Dirajanya menerusi https://login.bdnsw.gov.bn/ees.
“Mereka yang hendak membuat perjalanan keluar dari dan masuk ke negara ini hendaklah memasukkan maklumat pemandu dan setiap penumpang yang akan ikut serta dalam perjalanan berkenaan dan pembayaran bolehlah dibuat secara dalam talian,” katanya.
Mereka yang bercadang membuat perjalanan ini juga dikehendaki memastikan dokumen perjalanan mereka sah sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan – Bernama