KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memutuskan keputusan permohonan pembatalan saman yang dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didengar pada 7 Ogos depan.
Sebelum ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama tiga ahli lain telah memohon membatalkan saman pemecatan Tun Mahathir dan empat ahli Bersatu yang lain.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pembelaan dan pendakwaan hampir setengah hari dikamarnya.
Selain Muhyiddin yang juga Perdana Menteri ketika ini, tiga yang lain berusaha untuk mengetepikan cabaran undang-undang terhadap pemecatan tersebut ialah Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Pengajur Bersatu, Kapten Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS), Masyati Abang Ibrahim.
Sebelum ini, Dr. Mahathir bersama plaintif lain telah mengemukakan saman berhubung pemberhentian keahlian dan jawatan mereka dalam parti Bersatu.
Dalam saman itu, plaintif memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli Bersatu yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.
Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu adalah tidak sah dan terbatal.
Peguam yang mewakili Muhyiddin dan tiga yang lain, Rosli Dahlan berkata, selain mendengar permohonan mengetepikan saman, mahkamah juga mendengar permohonan interlokutori lain oleh kedua-dua pihak.
Ini termasuk permohonan defendan menggugurkan Bersatu dan Masyati sebagai plaintif dan defendan dalam saman itu.
Selain itu, Rosli juga merujuk kepada permohonan Dr. Mahathir dan plaintif lain untuk perintah sementara bagi mempertahankan status-quo antara pihak-pihak terlibat sementara menunggu pembatalan saman utama.
“Semua keputusan berhubung permohonan-permohonan ini akan diputuskan pada 7 Ogos nanti,” katanya kepada pemberita yang menanti di luar kamar selama beberapa jam hari ini.
Sementara itu, peguam Tun Mahathir dan plantif lain, Mohamed Haniff Katri memberitahu, sekiranya pada 7 Ogos mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan defendan mengetepikan saman itu, pada hari sama mahkamah juga akan buat keputusan tentang pengekalan status-quo pihak dalam pertikaian.
“Kami mohon perintah sementara untuk memastikan defendan tidak melakukan tindakan dan kelakuan untuk memprejudiskan kedudukan pihak plaintif dan pihak (Bersatu),” ujar Haniff.
Dalam pada itu, Mohamed Haniff turut mengesahkan tindakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik diri sebagai plaintif saman utama.
Beberapa hari lepas, media melaporkan Syed Saddiq yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan melalui suatu kenyataan berkata tidak akan menangguhkan usaha untuk mengeluarkannya daripada Bersatu dan akan membatalkan cabaran undang-undang terhadap penyingkirannya. -MalaysiaGazette