Home Nasional Polis siasat kes penunggang motosikal bergaduh

Polis siasat kes penunggang motosikal bergaduh

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat punca kejadian pergaduhan antara dua penunggang motosikal yang rakaman videonya tular hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Supritendan Rajab Ahad Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7. 45 pagi di hadapan Masjid Khalid Al Walid, Jalan Padang Tembak, Datuk Keramat semalam.

“Sehingga kini, hanya satu pihak saja yang tampil membuat laporan polis tentang kejadian tersebut. Polis Wangsa Maju menyeru agar pihak kedua-dua yang terlibat untuk segera tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di
talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam rakaman video berdurasi 1.35 minit di laman media sosial itu menunjukkan kejadian pergaduhan antara dua penunggang motosikal.

Melalui rakaman tersebut, kata Rajab Ahad, seorang penunggang motosikal didapati hampir berlanggar dengan sebuah motosikal yang dating dari arah yang bertentangan.

“Kejadian tersebut telah menyebabkan pergaduhan mulut
antara kedua pihak hingga terjadinya tolak-menolak antara satu sama lain dan menyebabkan anak serta isteri penunggang lain itu terjatuh,” katanya lagi.

Orang awam yang berada di tempat kejadian telah bertindak meleraikan pergaduhan tersebut dan kedua-dua penunggang motosikal berkenaan beredar.

Video itu telah ditonton dan mendapat kecaman dari pelbagai pihak yang tidak senang dengan apa yang berlaku.- MalaysiaGazette