Home Sukan Jamsari jual koleksi pingat kerana kecewa

Jamsari jual koleksi pingat kerana kecewa

Gambar Facebook Jamsari Sabian.

KUALA LUMPUR –  Bekas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian muncul bekas pemain terbaharu  yang sanggup ‘mengorbankan’ tiga koleksi pingat yang dimenanginya bersama Selangor pada 2005.

Menerusi akaun Facebooknya, Jamsari mengumumkan mahu melelong koleksi tiga pingat iaitu pingat juara Liga Perdana 2005, Piala FA 2005 dan Piala Malaysia 2005 selepas jualan pingat sebelum ini didermakan untuk Palestin dan Syria.

Dia menyatakan jualan pingat itu untuk ‘menderma’ kepada diri sendiri sekali gus menimbulkan persoalan memandangkan ia dibuat hanya beberapa hari selepas Khalid Jamlus melelong koleksi peribadinya termasuk Anugerah Kasut Emas.

Namun Jamsari, 42, menjelaskan, ia tidak membabitkan ukan isu kewangan sebaliknya keputusan melepaskan koleksi berharganya itu selepas tawar hati apabila menunggu janji yang tidak kunjung tiba daripada pihak yang sebelum ini pernah menawarkan ‘sesuatu’, 12 tahun lalu.

Peristiwa terbabit jelas menjadi pengajaran buat dirinya supaya tidak mudah percaya dengan janji mulut apabila sehingga kini, tiada sebarang perkembangan mengenai janji itu kepada dia dan beberapa bekas rakan sepasukannya.
Jamsari Sabian di zaman kegemilangannya.

“Jangan salah faham, ini tidak sama dengan itu (kes Khalid Jamlus). Masalah kewangan itu memanglah ada tapi untuk jual pingat ini, ia lebih kepada menyuarakan kekecewaan saya kepada pihak tertentu yang saya tidak mahu sebutkan siapa.

“Lama-lama simpan pun, tidak dapat apa. Tinggal ini sahaja koleksi yang saya yang ada daripada simpan, lebih baik saya jualkan sahaja kepada mana-mana pihak yang berminat.

“Cuma, saya mahu ingatkan pemain muda kita, kalau mahu buat buat apa-apa, tolonglah buat secara hitam putih dan tidak sekadar berjanji mulut semata-mata. Itulah yang terjadi pada saya dan beberapa rakan sepasukan yang lain.

“Kalaulah dapat janji itu, saya kira boleh melegakan sikit keluarga saya dan kita pun tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang, sekurang-kurangnya dapatlah beri peluang mencari rezeki dalam bidang lain selepas ini,” katanya kepada BH Online. – MalaysiaGazette