Oleh Dr. Nor Hafizah Mohd Badrol Afandi
BAGI memenuhi tuntutan globalisasi hari ini serta dunia tanpa sempadan, manusia di seluruh dunia kadangkala terpaksa keluar dari kepompong sendiri di mana kita tidak lagi hanya tinggal di tempat asal kelahiran tetapi terpaksa berhijrah atau ‘bermigrasi’ ke negara lain di atas pelbagai faktor seperti politik,ekonomi, sosial dan sebagainya.
Penghijrahan ini sudah tentu membawa pelbagai kesan positif dan negatif terhadap negara yang mereka berhijrah itu dalam jangka masa pendek dan jangkamasa panjang.
Apabila penghijrahan berlaku maka ada kemungkinan terjalinlah perkawinan di antara rakyat dua negara yang berbeza warganegara kerana cinta melangkawi sempadan negara. Fenomena ini sudah tentu dapat dilihat di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Ada yang isteri mereka terdiri dari bukan warganegara atau suami bukan warganegara.
Di dalam membincangkan isu ini terdapat beberapa persoalan berkaitan undang-undang kewarganegaraan yang harus diketahui oleh setiap pasangan terbabit. Umum mengetahui bahawa undang-undang berkaitan kewarganegaraan termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pasangan bukan warganegara boleh memohon untuk menjadi warganegara diatas faktor perkawinan. Walaubagaimana pun terdapat perbezaan dari sudut perlembagaan diantara isteri bukan warganegara dan suami bukan warganegara.
Di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, isteri bukan warganegara boleh memohon kewarganegaraan secara pendaftaran dengan memenuhi beberapa syarat dibawah peruntukan tersebut. Namun hak yang sama tidak diberikan kepada suami bukan warganegara.
Suami bukan warganegara hanya boleh memohon kewarganegaan melalui proses naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan yang sudah tentu terlalu ketat untuk dipenuhi berbanding dengan perutukan bagi isteri bukan warganegara. Di sini jelas terdapat diskriminasi gender di bawah peruntukan undang-undang.
Namun disebalik diskriminasi undang-undang ini terdapat tujuan yang tersirat disebaliknya. Perbezaan perutukan undang-undang ini sebenarnya dapat memelihara kebajikan wanita warga tempatan dari pihak-pihak yang mengambil kesempatan di atas perkawinan dengan warga tempatan.
Kita lihat sejak akhir-akhir ini terdapat beberapa perkawinan diantara warga asing dan wanita warganegara yang sudah lanjut usia yang tujuan perkawinan mereka diragui.Walau bagaimanapun bagi perkawinan yang berdasarkan cinta yang tulus ikhlas wanita yang bersuamikan warga asing akan merasa terkesan apabila suami yang bukan warganegara ini terpaksa kembali ke negara asal kerana gagal memperolehi kewarganegaan Malaysia dan juga apabila permit lawatan atau pekerjaan telah tamat tempoh atau tidak dilanjutkan.
Mereka kadang-kadang terpaksa membuat pilihan yang berat untuk mengikuti suami balik ke negara asal. Kesan ini dapat dirasai apabila terdapat segelintir wanita warga tempatan dari kalangan para professional yang terpaksa berhijrah demi suami. Ini sudah tentu merugikan negara apabila kita akan kehilangan khimat pakar di kalangan warga tempatan.
Perkara yang sedemikian tidak akan berlaku kepada isteri yang bukan warganegara kerana laluan mereka untuk memperolehi kewargenegaraan melalui undang-undang adalah lebih mudah.
Seperkara lagi yang harus diambil perhatian ialah pendaftaran anak yang lahir diluar negara. Perlembagaan Persekutuan ada mempertuntukan pendaftaran kepada suami warganegara yang beristerikan bukan warganegara untuk mendaftar kelahiran anak mereka di luar negara dibawah Jadual II Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan.
Namun peruntukan yang sama tidak diberikan kepada wanita warganegara yang berkawin dengan bukan warganegara untuk mendaftar kelahiran anak mereka di luar negara. Ini sudah tentu menyulitkan wanita terbabit dimana sebahagian dari mereka terpaksa pulang ke tanahair semata-mata untuk melahirkan anak mereka demi kewarganegaraan anak tersebut.
Walaupun sebelum ini Menteri terbabit telah memberi jaminan untuk mengatasi masalah ini namun ianya masih samar dan peruntukan Perlembagaan masih tidak dipinda. Walaubagaimana pun harus dinyatakan di sini bahawa perutukan berkaitan dengan undang-undang kewarganegaraan tidak boleh sewenang-wenangnya dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Oleh itu di dalam menangani isu ini kerajaan seharusnya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah diskriminasi gender yang terdapat di dalam undang-undang kewarganegaraan di Malaysia.
— Dr. Nor Hafizah Mohd Badrol Afandi merupakan Ketua Jabatan Undang-Undang Sivil, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kerajaan perlu mengetatkan lagi proses kewarganegaraan bagi semua pendatang asing yg berkahwin dengan warganegara,purata pendatang asing yg berkahwin dengan warganegara adalah hanya untuk mengambil kesempatan terhadap warganegara demi untuk menikmati hak2 sebagai warganegara,
ini bukanlah satu bentuk diskriminasi terhadap pendatang asing,ianya bertujuan untuk membendung semua pendatang asing yg hanya ingin mengambil kesempatan terhadap warganegara,masalah kad pengenalan palsu yg belum dapat diselesaikan juga merupakan perkara yg perlu dititikberatkan oleh Kerajaan,