Home Seni Hidup UIAM ungguli Anugerah Green Gown

UIAM ungguli Anugerah Green Gown

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi universiti yang pertama di negara ini mendapat pengiktirafan dan menerima Anugerah Green Gown Antarabangsa pada majlis penganugerahan yang berlangsung di New York secara maya kelmarin.

UIAM menerima anugerah tersebut dalam kategori Institusi Lestari Terbaik Tahun 2020.

Anugerah tersebut mendapat sokongan dari United Nation (UN) Environment, International Association of Universities (IAU) dan The Association of Commonwealth Universities (ACU).

UIAM berada dalam senarai akhir bersama lapan lagi universiti yang lain termasuk dari Australia, Britain, Columbia, Mexico, Filipina dan Peru dalam kategori yang sama.

Ia juga adalah pengiktirafan yang tertinggi diberikan kepada institusi pengajian tinggi yang menjalankan usaha kelestarian bagi mencapai objektif kelestarian global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anugerah Green Gown ini diberikan kepada universiti dari seluruh dunia sebagai pengiktirafan atas usaha yang dijalankan dalam membangunkan kelestarian didalam negara sendiri dan yang memberikan impak kesejahteraan untuk komuniti setempat.

Menurut Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, UIAM merupakan institusi pengajian tinggi yang pertama di Malaysia, bahkan di Asia yang menerima pengiktirafan sedemikian dan ia juga yang pertama untuk sebuah institusi pengajian Islam.

”Anugerah ini merupakan pengiktirafan bagi universiti untuk membuat satu perubahan atas kepakaran yang diiktiraf oleh PBB, dalam hal ini ia merupakan satu anugerah yang pertama kali diterima oleh Malaysia malah di dunia Islam dan juga di dunia sebelah Asia.

“Ini meletakkan UIAM ini di antara salah satu universiti yang mempunyai peranan penting dalam merubah dan juga mencari satu pendekatan baru dalam Pendidikan masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, UIAM juga menjadi finalis untuk kategori Anugerah Menafaatkan Masyarakat (Benefitting Society) menerusi program LIGHT (Leadership, Intuititive, Giving, Humility, Tenacity) yang dianjurkan oleh Kulliyyah Senibina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED) dan Universiti Sains Islam Malaysia(USIM).

Untuk kategori tersebut dimenangi oleh Universiti dari Peru. – MalaysiaGazette