KUALA LUMPUR – Dua lorong di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) akan ditutup kepada semua kenderaan mulai esok hingga 17 Julai untuk kerja penyelenggaraan meningkatkan tahap keselamatan.
Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan memaklumkan, penutupan melibatkan lorong perlahan dan kecemasan di KM23.14 hingga KM24.21 (arah selatan).
Katanya, Plus mahu meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di antara Persimpangan Bertingkat Putrajaya-Gamuda Cove di Lebuhraya Elite dan penutupan ini membolehkan kerja penyelenggaraan turapan jalan dapat dilaksanakan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut.
Syarikat pengendali lebuh raya menasihatkan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan susur ke Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil untuk meneruskan perjalanan ke selatan sekiranya berlaku kesesakan di laluan berkenaan dan mematuhi semua papan tanda lalu lintas serta arahan. – MalaysiaGazette