KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperuntukkan RM70 juta bagi melaksanakan beberapa program strategik bertujuan meningkatkan kapabiliti dan kapasiti penggiat industri pembinaan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan bagi menangani penularan Covid-19 baru-baru ini.
Usaha ini adalah bagi menyokong dasar semasa negara dalam meningkatkan penggunaan teknologi, pengurangan pekerja asing dan menyediakan pekerjaan bagi pekerja tempatan.
“Program-program yang disediakan dan mula dilaksanakan pada tahun ini, dilihat mampu memberi pendedahan dan juga melatih 30,000 penggiat industri iaitu dari golongan kontraktor, personel binaan dan belia di dalam pelbagai bidang kemahiran, penyeliaan dan pengurusan dan juga penggunaan teknologi di dalam pembinaan,” kata Menteri Kanan Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejumlah 17,700 personnel binaan tempatan dan juga golongan belia tempatan bakal mendapat manfaat dari program-program berbentuk latihan Skilling, Reskilling, Upskilling serta akreditasi kemahiran yang akan dilaksanakan.
“Usaha ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran personnel dan belia tempatan di dalam bidang berimpak tinggi untuk membina kerjaya di dalam industri pembinaan, seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” ujarnya.
CIDB juga akan menyediakan program perantisan, di mana seramai 7,800 belia tempatan akan diberi peluang untuk ditempatkan di syarikat-syarikat pembinaan untuk dilatih dan seterusnya memperolehi pengalaman bekerja di dalam industri pembinaan.
Seramai 3,700 personel binaan dan belia tempatan juga akan dilatih di dalam bidang penyeliaan dan pengurusan projek, manakala 400 lagi akan dilatih di dalam bidang
keselamatan tapak bina.
Selain program-program latihan kemahiran untuk personel dan belia, CIDB turut mengadakan beberapa inisiatif untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi di kalangan
kontraktor.
CIDB merancang untuk melahirkan pengeluar komponen Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan memudahcara kontraktor tempatan untuk beralih dari sistem konvensional kepada IBS.
Untuk meningkatkan penggunaan Building Information Modelling (BIM), CIDB turut menyediakan subsidi pembelian perisian BIM yang boleh dimanfaatkan oleh penggiat industri.
“Bagi memudahkan pengguna dan pemilik rumah membuat carian dan mendapatkan perkhidmatan kontraktor-kontraktor kecil tempatan CIDB telah membangunkan aplikasi mudah alih Contractor4U.
“Pendaftaran untuk aplikasi tersebut dibuka untuk semua
kontraktor, terutamanya dari golongan kontraktor G1 dan G3,” kata Fadillah.
Setakat ini seramai 4,500 kontraktor telah berdaftar di dalam aplikasi tersebut.
Semua peruntukan ini adalah tambahan kepada pakej Prihatin CIDB bernilai RM9 juta yang telah diumumkan pada 7 Mei semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).- MalaysiaGazette