MADRID – Real Madrid hanya memerlukan dua lagi kemenangan untuk bergelar juara La Liga Sepanyol atau lebih awal sekiranya berjaya menewaskan Granada Isnin ini.
Dalam aksi awal pagi tadi di Santiago Bernabeu, the Galacticos menang selesa 2-0 ke atas Alaves dengan berbaki dua lagi perlawanan bagi mengesahkan kemenangan piala liga domestik.
Karim Benzema meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan seawal minit ke-11 menerusi sepakan penalti.
Gol itu diperolehi selepas Ferland Mendy dikasari Ximo Navvaro.
Manakala di separuh masa kedua iaitu minit ke-50 Karim Benzema membantu Marco Asensio menjaringkan gol kedua pasukan.
Gol berkenaan dibenarkan setelah sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) mengenepikan keputusan offside oleh pengadil perlawanan di atas padang.
Dengan kemenangan itu pasukan kendalian Zinedine Zidane mengugguli carta La Liga dengan 80 mata selepas 35 perlawanan.
Manakala Barcelona menduduki tempat kedua dengan perbezaan empat mata dengan pendahulu liga.
Sekiranya Barcelona keciciran mata dalam aksi menentang Real Vallodolid pada malam ini, Real akan dinobatkan sebagai juara La Liga dengan menewaskan Granada pada Isnin ini.
Sama ada dua kemenangan atau dua keputusan seri dari baki tiga perlawanan lagi akan membawa kejuaraannya kepada pasukan Zidane.-MalaysiaGazette