KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Masliza Mahmod di atas pelantikan beliau sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga di atas kenaikan pangkat tersebut dan juga di atas kejayaan Dr Masliza melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, sekaligus mengharumkan nama negara di persada dunia.
Sehubungan itu, baginda menzahirkan harapan semoga pencapaian dan ketabahan Dr Masliza menjadi sumber inspirasi dan tauladan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.
Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Masliza dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan di dalam bidang kardiologi dan sebagai seorang pakar kardiologi yang ulung di dunia.
Menurut Jabatan Perubatan Radcliffe di Universiti Oxford, penyelidikan Dr Masliza
memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik-teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.
Doktor berusia 47 tahun dari Batu Pahat, Johor itu kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).
Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki ljazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.- MAlaysiaGazette