KUALA LUMPUR – Pendaftaran Perikatan Nasional (PN) disentuh dalam mesyuarat Pra-Persidangan Parlimen dalam kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebentar tadi, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Sembrong itu, belum ada keputusan yang dicapai mengenainya.
“Perkara itu disentuh, dimaklumkan oleh Presiden (Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi masih lagi belum ada kata putus. Baik tanya pucuk pimpinan parti dahulu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat.
Mengulas lanjut Hishammuddin memaklumkan mesyuarat yang berlangsung sebentar tadi berkisar persiapan menjelang persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok buat pertama kalinya selepas Perikatan Nasional menjadi kerajaan menggantikan Pakatan Harapan.
Jelas beliau, parti itu mengutamakan kesefahaman bukan sahaja dalam kalangan anggota sendiri malah parti lain dalam Perikatan Nasional selain mengutamakan perihal rakyat.
Justeru beliau yakin persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung lancar meskipun sebelum ini dijangka pelbagai pihak akan hangat dengan pertikaian daripada parti pembangkang khususnya yang mempertikaikan kelayakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Tambahnya, perkara yang mustahak adalah kesepaduan dalam membuat keputusan.
“Persiapan untuk esok dibincang yang penting mesti ada persefahaman sesama kita dan kali ini landskapnya menuntut kita mengambil kira parti-parti lain yang bersama dengan kita yang saya tengok tidak ada timbul masalah sangat untuk kita bersidang kali ini.
“Insyallah dengan disiplin dan persefahaman yang mendalam sesama kita dan meletakkan kepentingan yang lebih besar terhadap masa depan rakyat, parti, masa depan ummah dan orang-orang Melayu ini merupakan perkara-perkara pokok dalam perjuangan kita.
“Saya rasa tidak sebab kita tidak boleh bersatu berhadapan perkara yang jelas yang penting jangan bercakaran, bertelagah sesama kita,” jelas beliau. – MalaysiaGazette