Home Nasional Kedudukan Ariff, Kor Ming jadi tumpuan esok

Kedudukan Ariff, Kor Ming jadi tumpuan esok

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula esok sudah pastinya menjadi perhatian umum.

Ia merupakan sidang pertama selepas sidang pembukaan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada majlis perasmian mesyuarat pertama, penggal ketiga, Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu.

Sidang Dewan Rakyat ditangguhkan kerana wabak Covid-19 yang melanda negara ketika itu masih belum reda.

Parti-parti politik sudah pun mengadakan taklimat Ahli Parlimen sempena pra persidangan Parlimen bermula dengan Parti Amanah Negara semalam.

Barisan Nasional, Parti Keadilan Rakyat dan Perikatan Nasional pula mengadakan pertemuan yang sama pada hari ini.

Pra persidangan itu sebagai persediaan sebelum bermulanya sidang Parlimen pagi esok.

Selain, kali pertama sidang Dewan Rakyat diadakan dengan prosedur standard operasi (SOP) baharu mengambil kira kebiasaan baharu dalam memerangi pandemik koronavirus (Covid-19), mesyuarat esok adalah yang pertama buat Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri ke-8 dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh susulan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari lalu.

Agenda utama Sidang Dewan Rakyat esok tentunya pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Nga Kor Ming.

Usul menamatkan lantikan tersebut akan dibuat oleh Muhyiddin.

Mohamad Ariff dan Kor Ming adalah lantikan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Tetapi seorang lagi, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang menyokong Perikatan Nasional (PN) masih dikekalkan.

Setakat berita ini ditulis, MalaysiaGazette difahamkan hanya usul pelantikan Speaker dan timbalannya akan dibuat esok.

Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana Perdana Menteri berjaya membawa usul ini kerana semuanya di dalam tangan Speaker.

Selaku Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff boleh membuat pertimbangan sama ada untuk mendahulukan usul kerajaan atau sebaliknya walaupun pemecatan kedua-dua jawatan itu adalah usul daripada kerajaan.

Beliau juga berhak untuk mendahulukan usul persendirian – iaitu usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri kerana notis usul undi tidak percaya dibawa Dr Mahathir, selaku Ahli Parlimen Langkawi yang diserahkan kepada Parlimen sebelum ini difahamkan masih ‘valid’ lagi.

Setakat ini, hanya nama bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun dicadangkan sebagai pengganti Mohamad Ariff manakala Datuk Seri Azalina Othman Said pula sebagai timbalan.

Kalau usul ini diterima dan berjaya dilakukan, ia merupakan satu lagi sejarah dalam Parlimen Malaysia.

Apapun, tidak sampai 24 jam, pastinya sidang Dewan Rakyat yang dijangka bermula pada jam 9 pagi itu pasti dinantikan dengan penuh debaran dan mencemaskan. – MalaysiaGazette