Home Pendapat Peranan media perangi Covid-19

Peranan media perangi Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah serta yag lain menunjukkan kertas tertera nombor 1 berikutan hanya 1 kes baharu dilaporkan dan kes baharu tersebut adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan tiada kes penularan dalam negara dilaporkan hari ini pada pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2020

KEJAYAAN Malaysia dalam mengawal dan membendung penularan wabak Covid-19
adalah hasil usaha kolektif membabitkan pelbagai pihak yang telah memainkan peranan masing-masing dengan cemerlang. Dalam hal ini antara pihak yang turut memainkan peranan yang cukup signifikan ialah pihak media baik media cetak mahupun elektronik termasuk portal digital. Ringkasnya, adalah tidak keterlaluan untuk kita mengiktiraf para petugas media juga sebagai barisan petugas hadapan yang sama-sama telah membantu membendung wabak ini.

Tatkala terlalu banyak berita palsu menghambat kotak pemikiran anggota masyarakat ketika pandemik, pihak media muncul sebagai penyelamat keadaan. Hakikatnya, berita palsu yang turut merebak menjadi wabak dan virus yang begitu sukar dikawal dilihat cukup mengancam kehidupan seharian rakyat kita. Misalnya berita palsu seperti kemunculan kluster baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu-satu lokasi mula mencetuskan keadaan yang panik dalam kalangan khalayak. Akibatnya mula berlaku pembelian panik serta ramai yang bimbang tahap keselamatan dan kesihatan masing-masing. Mujurlah pada ketika itu muncul pihak media yang segera melaporkan berita dan maklumat yang betul, tepat dan sahih, sekali gus meredakan kegelisahan rakyat.

Secara umumnya penulis boleh merumuskan pihak media di negara ini telah
memainkan dua peranan yang utama dalam membantu memerangi wabak Covid-19
ini. Pertama, bertindak menyampaikan dasar dan polisi kerajaan yang dikuatkuasakan sepanjang PKP dengan cepat, betul dan tepat untuk makluman orang ramai. Misalnya pengumuman pelaksanaan PKP, PKPD dan PKPP serta prosedur standard operasi (SOP) yang berkaitan dan yang telah ditetapkan disampaikan dengan segera kepada anggota masyarakat. Media juga berjaya menerangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat tentang segala prosedur dan polisi yang telah diperkenalkan dan perlu dipatuhi. Ini membolehkan rakyat memahami mesej yang disampaikan oleh pihak berkuasa dengan jelas dan tepat, sekali gus memudahkan kerja pihak berkuasa dalam mengawal dan membendung penularan wabak ini di seluruh negara.

Peranan besar pihak media yang kedua ialah, media turut membantu mewujudkan
dan meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat tentang penularan dan
ancaman wabak ini. Penulis memuji inisiatif pihak media baik akhbar cetak, portal
dalam talian, televisyen mahupun radio yang dilihat cukup kreatif dalam menyediakan dan menghebahkan pelbagai informasi sebagai kempen kesedaran bagi memerangi wabak ini. Antaranya, ada yang menerbitkan video pendek dan ada yang menyediakan pelbagai poster yang kreatif dan menarik yang menerangkan amalan penjagaan kebersihan seperti cara membasuh tangan dan pemakaian pelitup muka yang betul serta keperluan amalan penjarakan sosial di pelbagai lokasi umum.

Ringkasnya, kita dapat lihat pihak media telah melancarkan kempen kesedaran
memerangi wabak ini secara bersepadu demi menyedarkan seluruh rakyat Malaysia.
Peranan dan tanggungjawab sosial media ini wajar dipuji.

Di samping itu kita juga wajar menghargai kerja keras para krew media seperti
wartawan dan jurukamera yang sanggup berhujan dan berpanas serta turut
mengharungi pelbagai risiko dalam mendapatkan sesuatu berita untuk dihebahkan
kepada orang ramai. Tindakan berani dan nekad mereka yang mahu memberikan
liputan yang terbaik dan maklumat terkini kepada rakyat wajar dipuji dan diangkat
sebagai wira yang tidak didendang. Bayangkan ketika PKP jika tidak ada krew yang bertugas, rakyat tidak akan mendapat sebarang maklumat yang hendak disampaikan atau diumumkan oleh pihak kerajaan. Syabas kepada para petugas media yang komited dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab.

Justeru penulis berharap agar anggota masyarakat akan memberikan penghormatan
dan penghargaan yang sewajarnya kepada media dan semua petugas media yang
telah memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membantu membendung
wabak Covid-19 di negara kita. Semoga para petugas media akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, amanah dan telus demi kesejahteraan rakyat dan negara. Penulis secara peribadi ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua media dan barisan petugas media. Anda adalah wira yang tidak didendang!

Noor Mohamad Shakil Hameed
Pembaca MalaysiaGazette dan Penganalisis Isu Semasa