Home Pendapat Saya akan terus setia dengan Datuk Seri Najib – RS Thanenthiran

Saya akan terus setia dengan Datuk Seri Najib – RS Thanenthiran

Saban hari setiap kali prosiding kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlangsung, pastinya kelibat Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran boleh dilihat.

Malah beliau setia menanti sehingga selesai prosiding walhal rumah beliau di Butterworth Pulau Pinang.

Ada kalanya Thanenthiran akan memandu sendiri awal pagi supaya dapat sampai ke Kuala Lumpur bagi menemani Najib.

Thanenthiran secara jujur memberitahu, beliau akan terus setia bersama Najib, tidak kira apa jua keadaan sebelum ini, ketika ini mahupun selepas ini.

“Sebenarnya saya lebih terhutang budi dengan beliau. Komuniti India di negara ini berhutang dengannya. Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kerana itu jatuh bangun beliau, saya ingin berada di sisinya tidak kira apa yang berlaku di sekeliling.

“Saya sudah mengenali Najib hampir 15 tahun lamanya, mungkin tidak begitu lama seperti segelintir ahli politik atau individu, tapi tempoh itu cukup lama untuk saya mengenali siapa beliau sebenarnya.

“Anda tidak akan jumpa seseorang yang begitu komited, prihatin mahupun mempunyai rasa belas ‘empathy’ terhadap masyarakat India di negara ini pada setiap masa, kerana itu juga ketika beliau menjadi Perdana Menteri, beliau memberikan pelbagai keistimewaan, peruntukan, jawatan dan segala macam lagi.

“Mungkin ada ingat lagi, tahun lalu ketika sambutan Thaipusam, beliaulah yang juga hadir ke Batu Caves ketika melalui prosiding mahkamah, ketika sudah tidak lagi menjawat jawatan Perdana Menteri lagi. Pemimpin India dari PH mana? Walaupun Perdana Menteri mahupun Timbalan atau yang lain.

“Tetapi Najib ini lain. Ini salah satu contoh yang ingin saya utarakan. Jika suatu ketika dulu ketika masih menjadi Timbalan Perdana Menteri kemudian Perdana Menteri, saban tahun beliau hadir ke sambutan Thaipusam, Deepavali, Ponggal dan sebagainya.

“Kini tidak perlu bukan? Tetapi beliau tetap begitu dekat dan setia dengan masyarakat India, jadi apa salahnya saya juga setia?,” soalnya memulakan bicara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Thanenthiran, hakikatnya Najib begitu prihatin dalam memperjuangkan nasib masyarakat India sekian lama dan banyak berbakti ketika memegang jawatan Perdana Menteri ke-6.

“Jika hendak berikan contoh, percayalah satu hari sekalipun tidak cukup malah mungkin saya sendiri akan tertinggal kerana terlampau banyak. Jika untuk pendidikan sahaja, beliau telah peruntukan lebih RM1 bilion.

“Nasib sekolah-sekolah Tamil daif banyak mendapat perhatian khusus darinya ketika itu, kemasukan ke matrikulasi juga ditambah yang kemudian ‘ dikelentong’ kononnya one off oleh kerajaan PH yang kini sudah tumbang.

“Apa gunanya ada Perdana Menteri untuk lebih 22 tahun jika isu berkaitan pendidikan mahupun sosio ekonomi itu jelas sekali tidak menjadi keutamaan? Dengan Najib, semua itu sangat penting kerana masyarakat India sangat penting. Saya hanya katakan kebenaran jadi tidak perlu rasanya ada pihak terasa dengan apa yang saya katakan ini.

“Kerana itu juga saya sentiasa rasa, susah atau senang, jatuh atau bangun, saya perlu bersama seorang pemimpin yang bukan sekadar ‘retorik’ menjadi pemimpin berjiwa rakyat, sebaliknya sebenar-benarnya bersifat sedemikian,” ujarnya.

Dakwa Thanenthiran, perbicaraan yang sedang dilalui oleh Najib sebenarnya tidak lebih daripada fitnah yang dilakukan oleh segelintir pemimpin terutamnaya pembangkang yang hendak menjatuhkan beliau dari awal lagi.

“Kerana itu anda boleh lihat, sehingga kini kita masih belum mendapat apa-apa yang boleh membuktikan Najib lagi, jika anda berada di dalam mahkamah ketika perbicaraan anda boleh lihat pelbagai kebenaran terungkap dengan sendirinya.

“Malah setiap hari Najib akan hadir ke mahkamah tanpa sekali pun rasa putus asa sebaliknya dengan penuh semangat mahu membersihkan nama beliau, hakikatnya di mata rakyat ramai yang sudah mula berubah pendapat malah tiap hari ada tampil memohon maaf kepadanya.

“Jumaat lepas, selepas hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam individu yang membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Kevin Morais, ingat lagi kenyataan dikeluarkan oleh abang mendiang? Beliau juga melahirkan rasa terima kasihnya secara terbuka kepada Najib kerana mencalonkan nama mendiang mendapatkan pangkat ‘Datuk’.

“Apa jadi dengan tuduhan-tuduhan jahat fitnah oleh pemimpin pembangkang kononnya wujud penglibatan Najib dalam pembunuhan tersebut? Adakah pemimpin-pemimpin ini memohon maaf? Semua ini untuk jatuhkan Najib sahaja kerana ketika itu beliau sebenar-benarnya seorang pemimpin berjiwa rakyat. Itu sahaja.

“Seperti kes mendiang Kevin Morais, banyak lagi akan terdedah, tunggu masa sahaja lagi. Satu ketika dahulu, sebelum PRU 14, pembangkang menggunakan media sosial dan media tradisional serta media asing untuk terus memburukkan Najib, jatuhkan beliau dan menang PRU.

“Kini apa jadi? Tidak sampai dua tahun pegang mandat, jatuh juga kerana semuanya berasaskan fitnah. Ada juga pemimpin yang dahulunya memburukkan kini boleh duduk semeja, apakah maknanya itu? Fikir sendirilah. Jika ada yang kata saya kaki bodek, saya tidak kisah.

“Ingat lagi setiap Pilihan Raya Kecil (PRK) dan semua kemenangannya? Semuanya ada ‘touching’ Najib atau kini lebih mesra dengan panggilan ‘Bossku’ oleh rakyat jelata. Ke mana sahaja beliau pergi, ribuan akan berkumpul. Anda tidak beri duit atau tempah bas, semuanya datang untuk berjumpa dengannya, mohon maaf dan kebanyakkan berselfie.

“Saya tahu saya menghargai seorang pemimpin yang telah banyak berjasa dengan saya dan komuniti saya. Bukan masyarakat India sahaja tapi keseluruhan kaum di negara ini, kebijaksanaan beliau tidak ada tolok bandingnya.

“Ketika BN UMNO masih menjadi kerajaan, saya tidak pernah minta apa-apa jawatan mahupun memegang jawatan tinggi-tinggi, kini beliau bukan seorang Perdana Menteri, tetapi pada saya, sepanjang hayat saya akan terus berterima kasih dan setia kepadanya,” ujarnya. –MalaysiaGazette

Najib Razak berucap pada majlis Pelancaran Pelan Induk (Blueprint) Masyarakat India Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2017.

4 Komen

  1. INI ORG YANG TAHU,KENAL PEKERTI DAN HATI BUDI SEORANG YANG BAIK…
    TERIMA KASIH DATUK SERI RS..

  2. Ini lah manusia yg pandai berteima ksih kpd org yg berbudi..org yg tahu kenang budi, tahu berterima kasih…smoga di rahmati n di beri hidayah.

  3. Zaman sekarang terutama dikalangan org politik, mencari teman yg betul2 setia masa susah dan senang amat payah.

  4. Syabas tuan..Pulau Pandan jauh ke tengah, gunung Daik bercabang tiga, hancur badan dikandung tanah; budi yg baik dikenang jua…kita semua org Malaysia tak kira bangsa dan agama benci dgn ahli politik kaki kencing…

Comments are closed.