PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) optimis mempunyai sokongan mencukupi bagi memastikan setiap usul dibawa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibentang dan seterusnya diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, malah sokongan daripada ahli Parlimen BN dijangka melebihi daripada jangkaan awal termasuk usul percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa oleh Pas.
“Saya tahu kamu ingin tahu esok berapa undi (percaya PM) undi kita sudah pasti melebihi yang dijangkakan, tiada masalah.
“Kami semua parti akan menyokong sepenuhnya apa yang akan dibentang Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bangunan Puspanitapuri, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat Pra Persidangan Parlimen PN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Shahidan menyifatkan mesyuarat itu bukan sesuatu yang baharu, malah ia menjadi amalan ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang sebelum bermulanya persidangan Dewan Rakyat.
“Ini adalah proses biasa tiap-tiap kali Parlimen (sidang), masa kami dalam pembangkang dulu kita buat pra persidangan Parlimen kita (BN)
“Ini pula mesyuarat Pra Persidangan Parlimen kelab penyokong Perikatan Nasional (PNBBC) yang melibatkan semua parti dalam PN
“Dalam senarai mereka semua adalah ahli Parlimen daripada PN dan Senator Dewan Negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette