Home Nasional Bahasa Melayu tidak dipedulikan, sokong penuh cadangan pindah akta DBP – MBM

Bahasa Melayu tidak dipedulikan, sokong penuh cadangan pindah akta DBP – MBM

Presiden Majlis Belia Negara, Jufitri Joha.

KUALA LUMPUR – setelah hampir 64 tahun merdeka, Bahasa Melayu belum cukup ditempatkan secara wajar dan saksama bahkan terkadang tidak dipedulikan.

Berikutan itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pemegang taruh yang bertanggungjawab memelihara amanah bahasa kebangsaan perlu diberikan kuasa untuk mengambil tindakan bukan sekadar menggalakkan sahaja.

Katanya, Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

Bagaimanapun menurut beliau, sebahagian besar seksyen yang terdapat pada keseluruhan akta berkenaan hanya berkisar terhadap usaha menggalak dan mendorong pemakaian bahasa kebangsaan tanpa memberikan kuasa mengambil tindakan.

Justeru, ujar Jufitri, MBM memberikan sokongan terhadap DBP dan syor yang diambil untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Draf pindaan Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995).

“Pelantikan Datuk Zainal Abidin Borhan, Ketua 1 GAPENA sebagai pengerusi dilihat satu langkah yang tepat dan MBM juga merupakan salah satu daripada anggota Jawatankuasa ini.

“Kita juga menyeru agar Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) terus diperkasakan. Matlamat untuk mencapai agenda “Kemakmuran Bersama” dan mencapai negara maju harusnya bersekali dengan penjelmaan wajah sejati Malaysia yang mengangkat harakat bahasa kebangsaannya dan menguasai bahasa global.

“MBM dengan tegas menyokong dan mendokong penuh usaha DBP meminda Akta DBP 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995) sambil menyeru para belia dan rakyat mendokong segala usaha memartabatkan bahasa kebangsaan kita yang tercinta ini,” kata beliau.

“Semoga lebih ramai belia yang tampil membawa semangat Za’ba dan Abdullah Munsyi di zaman gelora ini,” kata beliau

Menurut Jufitri, langkah meminda akta itu bertujuan untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar terhadap pemakaian Bahasa Melayu bagi maksud yang dijamin oleh undang-undang yang mana ia adalah satu inisiatif yang wajib didokong penuh.

“Cukup banyak penulisan sarjana dunia yang memaparkan akan kepentingan bahasa sebagai pentakrif tamadun.

“Jika ilmu itu dipenuhi nilai, dipengaruhi nilai dan memberi nilai, salah satu tonggak yang memberikan nilainya adalah bahasa.

“Sebagai sebuah negara berdaulat yang ditegakkan oleh pengalaman sejarah dan sosial sendiri, terjajah dalam tempoh masa yang panjang, kita masih menghargai negara ini mampu berdiri dengan bahasa kebangsaan sendiri ketika banyak negara-negara bekas jajahan lain yang terkorban bahasa peribuminya diganti oleh lisan penjajah,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Di Pulau Pinang, didalam sesetengah papan tanda misalnya, tulisan bahasa inggeris diatas, diikut tulisan cina, kemudian india, tiada Bahasa Melayu yang ditulis.

    Diharap pihak berkuasa dapat memperbetulkan keadaan sesuai dengan perlembagaan!

Comments are closed.