KUALA LUMPUR – Jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kembali merekodkan satu angka apabila tujuh kes positif dilaporkan di negara setakat hari ini.
Enam daripadanya adalah kes import manakala satu kes di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia direkodkan sekaligus menjadikan jumlah kes sebanyak 8,725 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, satu kes sembuh didiscaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,520 kesĀ iaitu 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
“Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 83 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Memperincikan ketujuh-tujuh kes positif yang baharu itu, enam daripadanya kes importĀ yang mendapat jangkitan di luar negara yang mana dua daripada jumlah itu melibatkan warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja).
Manakala satu kes penularan di dalam negara pula adalah melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster Individu di bawah siasatan (PUI) Novgorod, katanya.
“Sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga kes memerlukan bantuan pernafsan dan angka kematian pula terus kekal sebanyak 122 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) tanpa kes kematian baharu hari ini,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, katanya, satu kluster baharu telah dikesan di Melaka yang mana telah dikenalpasti menerusi kes ketiga yang dikesan positif Covid-19 hasil saringan kontak rapat kepada kes kedua bagi kluster itu.
Menurut beliau, kes pertama kluster berkenaan merupakan seorang warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8,673) yang telah pulang ke Malaysia dari negara Rusia pada 5 Julai lalu sebelum disahkan positif Covid-19 menerusi saringan di Pintu Masuk Antarabangsa dan kemudian dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.
Manakala ujar beliau, kes kedua kluster berkenaan iaitu kes ke-8, 718 merupakan rakan kepada kes ke- 8, 673 yang mana mereka telah menaiki pesawat yang sama pada 5 Julai lalu.
“Keputusan ujian saringan bagi kes ke-8,718 di Pintu Masuk Antarabangsa didapati negatif namun beliau mula mengalami gejala demam dan gejala saluran pernafasan pada 7 Julai lalu sebelum saringan ulangan didapati positif Covid-19.
“Sehingga 13 Julai ini, terdapat tiga kes positif dan 14 orang kontak rapat telah dikenalpasti dalam kluster ini yang mana kesemua mereka telah disaring dan dikesan negatif Covid-19.
“Siasatan dan akitiviti pengesanan kontak rapat secara aktif adalah diteruskan. Seperti yang maklumkan di atas, terdapat penularan jangkitan Covid-19 kepada seorang ahli keluarga daripada kes yang mendapat jangkitan dari luar negara (iaitu kes ke-8, 718),” ujar beliau.
Dalam perkara berkaitan, kata Dr. Noor Hisham, ketibaan individu itu di Malaysia pada 6 Julai lalu disambut oleh ahli keluarga beliau yang mana seramai empat orang ahli keluarga telah datang dengan menaiki kereta sendiri untuk menjemput beliau di pintu masuk antarabangsa.
“Hasil siasatan mendapati bapa kepada kes tersebut (iaitu kes ke-8,724) turut dikesan positif Covid-19 selepas beliau mula mengalami gejala demam.
“Ini menjadikan beliau kes ketiga Kluster PUI Novgorod,” ujar Noor Hisham.-MalaysiaGazette.