Home Nasional Hampir 1,500 PATI ditahan dalam Op Benteng

Hampir 1,500 PATI ditahan dalam Op Benteng

Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,494 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam Op Benteng kerana cuba mencerobohi sempadan negara dari 1 Mei sehingga 12 Julai 2020.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan adalah 249 tekong serta 50 bot dan 191 kenderaan yang terlibat dalam cubaan untuk mencerobohi sempadan Malaysia.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ismail Sabri, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah membuat 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,255 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

Dalam perkembangan berbeza, Ismail Sabri memaklumkan seramai 793 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Australia, Indonesia, Singapura, , Qatar, Myanmar, Filipina, Taiwan, India, Laos, China dan Hong Kong.

Daripada jumlah itu, 787 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala enam individu dibawa ke hospital.

Seramai 139 individu telah masuk melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Sultan Abu Bakar, Pelabuhan Pasir Gudang dan Feri Pasir Gudang dan kesemua diperintah untuk menjalani kuarantin di rumah.- MalaysiaGazette