MATTA menerusi kenyataan hari ini berkata, industri pelancongan dan perjalanan telah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan kajian menunjukkan ia hanya akan pulih daripada krisis semasa jauh lebih perlahan daripada sektor lain dalam ekonomi Malaysia.
Tambahan pula, pada 6 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kenyataan bahawa industri pelancongan memerlukan empat tahun untuk pulih, menurutnya.
Beliau berkata ketidakmampuan industri untuk membayar semula pinjaman mereka disebabkan oleh peraturan yang ketat dan permintaan lemah.
Peminjam individu yang bekerja dalam industri hospitaliti dan pelancongan juga harus diberi lanjutan moratorium enam bulan lagi kerana ramai yang menghadapi pemotongan gaji, cuti tanpa gaji atau diberhentikan.
“Ramai yang tidak memiliki kemampuan untuk membayar balik pinjaman mereka dalam keadaan tertekan dan kadar pengangguran meningkat dengan cepat,” katanya.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganggarkan kerugian yang dialami oleh industri pelancongan dan budaya bernilai RM45 bilion dari segi perbelanjaan pelancongan dan kira-kira satu juta pekerja dalam industri pelancongan di Malaysia dijangka hilang pekerjaan mereka tahun ini. – MalaysiaGazette