PUTRAJAYA- Jabatan Audit Negara merasakan terdapat sesetengah jabatan yang pernah ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenakan hukuman ringan kepada kakitangan mereka.
Bagaimanapun, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, Jabatan Audit tidak boleh campur tangan dalam urusan dalam jabatan yang ditegur tersebut.
Ini kerana tindakan punitif adalah tanggung jawab jabatan yang ditegur.
“Kadang-kadang kita merasakan ada jabatan yang agak berlembut dengan mengenakan hukuman ringan tetapi Jabatan Audit tidak boleh campur tangan kerana kita hanya melakukan audit dan menemukan ketidakpatuhan sahaja.
“Kita rasa ada perkara yang tidak kena dan perlu mendapat hukuman yang lebih keras tetapi jawatankuasa siasatan dalaman (jabatan yang ditegur) mungkin mengambil faktor lain yang Jabatan Audit tidak tahu.
“Mungkin kami nampak hukuman tersebut ringan tetapi jabatan berkenaan telah mengambil kira faktor-faktor mitigasi untuk mengurangkan hukuman,” katanya semasa sidang media Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 di sini hari ini.
Tambah Nik Azman, status tindakan susulan LKAN dari 2012 hingga 2018 (dikemaskini sehingga 5 Mac 2020) menunjukkan 255 pegawai terlibat telah dikenakan tindakan, 141 masih dalam prosiding manakala 604 dibebaskan.
Antara tindakan yang telah diambil adalah hukuman mahkamah (2), turun gaji dan denda (7) dan dibuang kerja (3).
“Selepas melakukan pengauditan dan audit susulan, kami akan bermesyuarat dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman di peringkat jabatan atau kementerian.
“Ia adalah untuk melaksana dan mengenal pasti sama ada berlaku kesilapa atau salah guna kuasa atau kecuaian dan tindakan sewajarnya akan dilakukan oleh jawatankuasa tersebut,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette