PUTRAJAYA- Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendapati pengurusan cerun di jalan persekutuan Semenanjung tidak dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.
Perkara tersebut katanya, berlaku akibat kelemahan perancangan bagi mengoptimumkan peruntukan yang diterima semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pencegahan cerun.
Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, kerja-kerja pembaikan hanya dijalankan terhadap 497 daripada 988 cerun atau 50.3 peratus yang telah runtuh dan dimohon peruntukan.
Manakala hanya 56 daripada sasaran 946 (5.9 peratus) kerja pencegahan cerun telah dijalankan.
“Pemeriksaan penyenggaraan rutin cerun tidak dijalankan sejak 2013 hingga tarikh pengauditan.
“Ini berlaku kerana kelemahan kontraktor yang tidak mempunyai keupayaan untuk membuat kerja-kerja tersebut.
“Projek ini diberikan melalui rundingan terus,” katanya semasa sidang media LKAN 2018 Siri 3 hari ini.
Tambah Nik Azman, peratus perbelanjaan kerja pencegahan cerun berbanding peruntukan yang diterima juga rendah iaitu 32 peratus manakala lapan daripada 40 peralatan Sistem Amaran Awal (SAA) yang telah dipasang tidak berfungsi pada tarikh pengauditan.
“Pemasangan peralatan SAA yang tidak mencapai objektif ditetapkan kerana tiada amaran dikeluarkan sejak pemasangan.
“Kelemahan dalam pengurusan cerun boleh menyumbang risiko keselamatan pengguna dan mengakibatkan tanah runtuh,” tegasnya.- MalaysiaGazette