KUALA LUMPUR – Wartawan Malaysia Gazette membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang semalam setelah menerima gangguan seksual semasa mengendalikan siaran langsung di laman Facebook portal berita itu.
Zazrina Zainuddin, 33, merasakan perbuatan itu amat mengganggu keselesaan dan keselamatan diri beliau.
“Gangguan (seksual) ini tidak mengira topik ketika live (siaran langsung), cuma perkara ini jadi terjadi bila saya sendiri menjadi hos yang mengendalikan live tersebut”
“Ayat yang dikomen lebih kurang sama dan tetap berbaur lucah, mengakibatkan penonton-penonton yang lain turut rasa kurang selesa” katanya.
Malah menurut Zazrina, terdapat juga penonton yang menyuruh beliau dan Malaysia Gazette membuat laporan polis terhadap akaun-akaun yang membuat komen berbaur lucah.
“Akaun-akaun tersebut mengikut carian pihak pengurusan MG, memang wujud, bukan akaun palsu” ujarnya.
Menurut entry pengguna akaun tersebut pada bulan Mei, akaunnya telah digodam.
Namun, komen-komen tersebut dibuat pada bulan Julai menyebabkan dakwaan tersebut sangat meragukan.
Zazrina pada mulanya tidak mahu mengendahkan hal itu kerana beliau percaya ‘jika tidak dilayan, hal ini akan berlalu begitu sahaja’.
“Akan tetapi, hal ini tetap berterusan dan pihak majikan turut berasa ini dapat mencalarkan imej syarikat dan juga maruah saya sendiri.
“Majikan, keluarga saya, dan juga pelbagai lapisan masyarakat tonton live ini, kenapa perlu buat komen sebegitu? Kenapa harus melucah tak tentu hala?” katanya. – MalaysiaGazette