Home Krik Krik EKSKLUSIF! Dr. Masliza…Dari Parit Raja ke Universiti Oxford

EKSKLUSIF! Dr. Masliza…Dari Parit Raja ke Universiti Oxford

KUALA LUMPUR – “Saya berasal daripada keluarga yang susah di Parit Raja, Batu Pahat, Johor namun ia bukan penghalang untuk saya berusaha dan bersaing sehingga berjaya menjadi Profesor Madya di universiti terkemuka dunia ini…’the sky is the limit’,” kata Dr. Masliza Mahmod.

Beliau berkata demikian dari London ketika ditemubual secara eksklusif oleh Malaysia Gazette awal pagi tadi.

Nama Dr. Masliza menjadi sebutan apabila berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia yang dinaikkan pangkat sebagai profesor madya bagi perubatan kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom baru-baru ini.

Beliau kini bertugas sebagai Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal dan Pakar Perunding Imaging Kardiologi Pusat Penyelidikan Resonans Magentik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular di universiti berkenaan.

Semalam Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Masliza  di atas pelantikan beliau.

Sehubungan itu, baginda menzahirkan harapan semoga pencapaian dan ketabahan Dr Masliza menjadi sumber inspirasi dan tauladan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia.

Penyelidikan bertaraf dunia

Dalam temubual pagi tadi, Dr. Masliza berkata, ketika ini beliau dan pasukannya sedang berusaha menjalankan penyelidikan dalam bidang perubatan jantung dengan pakar-pakar dari seluruh dunia.

“Saya berada di Universiti Oxford untuk menjalankan pelbagai projek dan kajian perubatan yang bukan hanya memberi manfaat kepada para pesakit di UK semata-mata.

“InshaAllah dengan kerja keras kami di sini, hasilnya boleh dinikmati dan dirasakan oleh masyarakat antarabangsa termasuk di tanah air yang tercinta Malaysia!,” kata Dr. Masliza bersemangat.

Penyelidikan Masliza antaranya memfokuskan kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular, teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baru untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

Untuk rekod, Dr. Masliza kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Belia yang juga Ahli Royal College of Physicians (MRCP) dari London itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Malaysia dan ijazah perubatan awal (MBChB) dari Universiti Otago, New Zealand.

Cabaran

Menurut bekas pelajar Temenggung Ibrahim Girls School (TIGS), Batu Pahat itu, bukan mudah untuk sampai ke kedudukan yang beliau ada ketika ini.

“Bukan mudah untuk dilantik ke jawatan ini apatah lagi di universiti yang terkenal seperti seperti di Oxford, saingan dan cabaran yang perlu saya lalui memang sukar apatah lagi mutu atau standard yang diperlukan sangat tinggi.

“Namun daripada dulu lagi saya sering memotivasikan diri saya agar meletakkan sasaran yang tinggi dalam apa juga perkara yang saya lakukan, selepas itu saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran tersebut, kalau pun tidak mencapai tahap yang saya mahukan, sekurang-kurangnya ia tidaklah ‘terlalu rendah,” katanya.

Mengulas lanjut tugasannya ketika ini, Dr. Masliza berkata, beliau terpaksa memakai ‘dua topi’ iaitu sebagai tenaga akademik yang memfokuskan pada tugasan mengajar, membuat kajian, menulis dan sebagainya serta tugas sebagai seorang pakar klinikal yang merawat pesakit di hospital.

Walaupun begitu, katanya, beliau tidak pernah merasakan ia satu bebanan yang besar kerana ia adalah bidang yang dicintainya khususnya dalam bidang rawatan jantung.

Beliau juga memberitahu kerap pulang ke Malaysia untuk mencurahkan ilmu dan pengalamannya di seminar dan bengkel-bengkel perubatan yang dianjurkan.

Tawaran bekerja

Dr. Masliza menambah, sebenarnya beliau telah ditawarkan bertugas di universiti itu ketika masih berada di tahun kedua pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Mereka telah melihat minat, kesungguhan dan kemampuan saya dalam bidang kardiologi ini walaupun ketika itu saya belum lagi tamat PhD, justeru bila mereka menawarkan tugas tersebut, saya merasakan ia adalah peluang yang perlu saya manfaatkan.

“Sebab itu selepas tamat PhD, saya terus berada di universiti ini kerana di sini kami dapat berkerjasama dengan seluruh penyelidik di dunia bagi menjalankan pelbagai penyelidikan bersama,” kata beliau.

Cabar diri

Dalam pada itu, Dr. Masliza sempat berpesan kepada ‘adik-adik’ di tanah air supaya sentiasa mencabar diri mereka agar kelihatan ‘berbeza’ dan menjadi yang terbaik berbanding yang lain.

“Saya selalu mengingatkan diri saya agar sentiasa berbeza dan menjadi yang terbaik daripada orang lain terutama di zaman yang mencabar ini.

“Sebagai contoh jika kita ada 100 doktor pakar, saya mesti berusaha bukan sahaja untuk menjadi doktor pakar tetapi pada masa yang sama menjadi doktor pakar yang mempunyai PhD dan Alhamdulillah saya berjaya telah membuktikannya.

“Sebab itu saya selalu memberitahu pelajar-pelajar kita, jangan hanya hendak belajar benda yang senang untuk lulus, kita kena berani mempelajari perkara yang rumit dan sukar kerana ‘di dalamnya’ ada kemanisan tersendiri bila kita berjaya mengharunginya,” kata Dr. Masliza sebelum mengakhiri perbualan. – Malaysia Gazette

1 Komen

Comments are closed.