Home Nasional Industri pelancongan kembali pulih suku kedua tahun depan – Nancy

Industri pelancongan kembali pulih suku kedua tahun depan – Nancy

Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan di negara ini dijangka pulih kembali pada suku kedua tahun depan setelah beberapa bulan terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi tujuan itu kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif melibatkan pihak swasta untuk bagi membantu merancakkan semula pelancongan domestik.

Menurutnya, setakat ini kadar pengunjung menginap di hotel juga menunjukkan peningkatan berdasarkan data yang diperoleh daripada pihak tertentu seperti persatuan hotel.

“Secara menyeluruhnya, ia (sektor pelancongan) akan pulih. Kami menjangkakan dari segi permulaannya pada suku kedua tahun depan.

“Namun itu semua adalah jangkaan. Cuma kita mempunyai banyak perancangan dan juga mengambil tindakan untuk memastikan pemulihan ekonomi akan berjalan lebih awal.

“Banyak yang kita lakukan misalnya dari segi promosi pelancongan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung tempoh sektor pelancongan negara yang bila akan kembali pulih sepenuhnya selepas pasca Covid-19, selain langkah diambil kerajaan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy memberitahu, selain usaha kerajaan, pihak swasta menerusi syarikat penerbangan turut membantu menawarkan pakej pelancongan domestik.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung kerugian pendapatan ditanggung sektor pelancongan akibat dari impak Covid-19, Nancy berkata, segmen pelancongan antarabangsa mengunjurkan kerugian melebihi RM31 bilion.

Dalam pada itu katanya, bagi segmen pelancongan domestik, kementerian menganggarkan kerugian melebihi RM13 bilion.

Ujarnya, penularan Covid-19 bukan sahaja memberi impak kepada Malaysia, malah, hampir semua negara di seluruh dunia turut terpaksa menerima kesan negatif sehingga Malaysia mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga hari ini.

Tambahnya, antara langkah utama semasa PKP adalah penutupan sempadan antara negeri dan juga sempadan negara.

Bagaimanapun jelas Nancy, industri pelancongan negara adalah antara pihak yang paling terjejas dalam situasi ini.

“Industri pelancongan negara terutama berkaitan dengan penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman dan penganjuran acara perniagaan terjejas teruk.

“Sehingga Jun 2020, kementerian menganggarkan sektor ini mengalami kerugian sebanyak RM45 bilion akibat penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette

+ posts