LONDON – Pep Guardiola menuntut maaf daripada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang tidak habis-habis mengkritik keputusan Manchester City yang menang rayuan mengenepikan penggantungan dua tahun oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pengurus the Noisy Neighbours itu mencabar kelab-kelab mengkritik keputusan itu supaya tampil bersemuka dengannya.
Keputusan CAS di Zurich yang memihak kepada Man City mengundang pelbagai reaksi dari kelab-kelab elit Eropah termasuk Liverpool, Chelsea dan Arsenal.
Lapan kelab liga juga menulis surat bersama kepada CAS sebagai membantah keputusan serta tindakan Man City yang mencabar hukuman UEFA itu.
Guardiola tanpa membuang masa meluahkan reaksinya selepas Pengurus the Kops, Jurgen Klopp dan Jose Mourinho menyatakan pendiriannya yang tidak memihak Man City.
Mourinho melabelkan keputusan CAS dalam rayuan Man City sebagai satu penghinaan sambil menjelasakan Man City tidak seharusnya didenda 9 juta pound kerana mengganggu proses siasatan UEFA sekiranya tidak bersalah.
Malah Mourinho juga menyifatkan keputusan yang memihak kepada Man City sebagai ‘pintu sarkas sudah dibuka, Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) sudah tidak bernyawa’.
Sementara Klopp menyifatkan ia bukan sesuatu yang baik untuk dunia bola sepak rentetan keputusan itu.
Guardiola membalas reaksi mereka:”Saya membalas kedua-dua pengurus itu bahawa ia adalah hari terbaik untuk bola sepak.
“Kami beraksi berdasarkan peraturan sama yang digunapakai untuk semua. Jika kami melanggar peraturan sudah pasti kami digantung.
“Datang bertentang mata dan cakap berterus terang dengan kami kalau tidak berpuas hati.Mereka kalah atas padang dan perlu kembali dan kalahkan kami dengan nilai kesukanan.
“Jose dan pengurus lain harus sedar bahawa reputasi kelab Etihad telah terjejas dan kami harus dimaafkan.
“Tapi janganlah berbisik di belakang kami (Man City) seperti pengecut (tujuh hingga lapan kelab).
“Reputasi kami dirosakkan dengan pelbagai tohmahan yang kini terbukti tidak benar maka semua pihak perlu akur dan terima hakikat itu demi kelangsungan sukan,” kata Guardiola.
Keluh pengurus warga Sepanyol itu, ramai mendakwa pihaknya menipu beberapa kali dalam soal FFP.
“Saya tahu kelab-kelab elit khususnya Liverpool (Manchester) United, Arsenal tidak selesa dengan kehadiran kami ke sini (Liga Juara-Juara).
“Mereka harus sedar bahawa kami berhak bersama mereka dan bersaing secara sihat dan adil dengan mereka,” tegasnya.-MalaysiaGazette