Home Nasional Malaysia tetapkan 4 kategori rentas sempadan dengan Singapura

Malaysia tetapkan 4 kategori rentas sempadan dengan Singapura

Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – Malaysia menetapkan empat kategori yang untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, menerusi kenyataan bersamanya dengan Menteri Luar Negeri Singapura, Vivian Balakrishnan berkata, kerajaan telah mengumumkan sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka secara bersyarat bermula 10 Ogos ini untuk dua kategori pertama.

Katanya, kedua-dua kategori itu ialah Reciprocal Green Lane (RGL) atau Laluan Hijau Timbal Balik untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting.

“Pada masa ini, seramai 400 orang seminggu dari setiap satu negara akan dibenarkan untuk menggunakan kemudahan ini.

“Kedua, Periodic Commuting Arrangement (PCA) atau Pengaturan Ulang Alik Berkala iaitu untuk membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura yang memegang pas imigresen jangka panjang melakukan perjalanan rentas sempadan atas tujuan bekerja,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Hishamuddin berkata, pada masa ini, kemudahan PCA akan dihadkan kepada 2,000 orang sahaja sehari bagi kedua-dua negara untuk perjalanan rentas sempadan melalui Tambak Johor dan Link Kedua sahaja.

Ini kerana, had pengguna kedua-dua kategori kemudahan rentas sempadan itu akan dikaji dan dipertimbangkan untuk penambahan dari masa ke semasa bergantung kepada jumlah kes Covid-19.

“Penting untuk saya nyatakan sekali lagi, SOP kesihatan serta proses keluar masuk akan hanya diumumkan secara terperinci pada 10 hari sebelum 10 Ogos ini,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat dua lagi kategori iaitu membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka melibatkan seramai lebih kurang 200,000 rakyat Malaysia dan Singapura.

Bagi kategori ketiga dan keempat pula katanya, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan.

Ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memadangkan situasi Covid-19 jelas masih belum reda, jelasnya.

Katanya lagi, perkara paling utama adalah kelulusan ke atas cadangan itu tertakluk kepada keupayaan kedua-dua negara melaksanakan ujian saringan Covid-19 harian terhadap pekerja-pekerja yang berulang alik.

Selain itu tambah beliau, kelulusan itu juga amat berkait rapat dengan tahap disiplin dan pematuhan rakyat kedua-dua negara yang melaksanakan perjalanan rentas rempadan menerusi skim RGL dan PCA.

“Sekiranya rakyat kedua-dua negara patuh kepada SOP yang ditetapkan dengan sebaiknya, barulah kita akan melihat kebarangkalian untuk membenarkan perjalanan rentas sempadan dibawah kategori ketiga dan keempat,” katanya. – MalaysiaGazette