KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk melihat isu penindasan serta ketidakadilan yang menimpa pekerja servis penghantar makanan bermotosikal Foodpanda Malaysia (Foodpanda) sejak kebelakangan ini.
Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Mansor berkata, isu berkenaan timbul apabila prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak pengurusan syarikat itu yang berubah-ubah.
Jelas beliau, paling ketara sistem batch yang menyebabkan gaji pekerja yang baru bekerja lebih tinggi daripada pekerja senior.
“Kami menerima banyak aduan daripada pekerja servis penghantar makanan bermotosikal Foodpanda sejak minggu lalu.
“Masalah asas adalah SOP yang tidak tetap sebagai contoh berubah setiap dua minggu seperti sistem batch. Kalau ikut gaji batch satu adalah tinggi dan batch dua lebih rendah. Namun ada pekerja yang baru masuk dalam masa seminggu dua terus diserap menjadi batch satu.
“Ada pula yang batch satu diturunkan kepada batch dua yang menjadikan SOP tidak tetap. Selain sistem batch, terdapat aduan lain yang seolah-olah menindas termasuk tiada perlindungan insurans,” katanya di Ibu Pejabat Foopanda di Jalan Chan Sow Lin di sini hari ini.
Sebelum itu beliau bersama aktivis TUNTUT lain telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pengurusan Foodpanda yang dketuai Pengurus Perhubungan Awamnya, Lisa Santa Maria.
Zulhelmi menambah, TUNTUT akan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia pada Jumaat ini hasil maklum balas antara pekerja dengan Foodpanda.
Jelas beliau, pihaknya berharap kerajaan dapat mendengar isi hati daripada pekerja agar konflik atau isu diketengahkan dapat diselesaikan
“Memorandum itu nanti dapat dijadikan asas untuk membanyi golongan ini kerana kita tidak lihat mereka tertindas dan kebajikan mereka dijaga.
“Namun kami yakin isu ini boleh mendapat perhatian dan penyelesaian daripada kerajaan yang begitu prihatin untuk membantu rakyat,” katanya.
Zulhelmi turut memberitahu satu lagi memorandum akan diserahkan melibatkan permasalahan pekerja Grab yang tidak dijelaskan secara terperinci ketika ini. – MalaysiaGazete