TEHRAN – Sekurang-kurangnya tujuh kapal terbakar di pelabuhan Bushehr Iran, lapor agensi berita Tasnim.
Ia merupakan kejadian terbaharu dalam rangkaian insiden yang tidak dapat dijelaskan di sekitar kawasan industri dan pemasangan nuklear sejak akhir bulan Jun.
Tidak ada korban jiwa dilaporkan, kata agensi itu.
Terdapat beberapa letupan dan kebakaran di sekitar kemudahan tentera, nuklear dan perindustrian Iran sejak akhir Jun, termasuk kebakaran di kemudahan nuklear Natanz bawah tanah Iran pada 2 Julai.
Natanz adalah pusat program pengayaan Iran, yang menurut Teheran adalah untuk tujuan damai.
Agensi perisik barat dan badan pengawas nuklear PBB (Badan Tenaga Atom Antarabangsa) percaya Iran mempunyai program senjata nuklear terselaras dan tersembunyi yang dihentikan pada tahun 2003.
Namun dinafikan Teheran.
Pada 3 Julai lalu, badan keselamatan tertinggi Iran memaklumkan punca kebakaran Natanz telah ditentukan, tetapi akan diumumkan kemudian.
Beberapa pegawai Iran tidak menolak kemungkinan berlaku sabotaj siber dan salah seorang dari mereka memberi amaran bahawa Teheran akan membalas dendam terhadap mana-mana negara yang melakukan serangan tersebut.
Dalam sebuah artikel pada awal bulan Julai, agensi berita negara IRNA membahaskan apa yang disebutnya sebagai kemungkinan berlakunya sabotaj oleh musuh seperti Israel dan Amerika Syarikat, walaupun tidak menuduh secara langsung.
Tetapi Menteri Pertahanan Israel berkata, negaranya tidak semestinya berada di belakang insiden misteri di Iran. – MalaysiaGazette