KUALA LUMPUR – Berita Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung petang semalam, memberi kesan besar kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Ini kerana, kedua mereka merupakan sahabat akrab yang sama-sama berjuang demi agama, bangsa dan tanah air sejak era Pergerakan Pemuda UMNO lagi.
“Saya kehilangan seorang sahabat yang sama-sama susah dan senang sejak zaman Pemuda UMNO lagi.
“Baru Sabtu lalu kami, YB-YB retreat ditempatnya di Rimba Wangsa. Sukar menerima berita bahawa YB Khusairi telah pergi selama-lamanya.
“Ya Allah, ampuni dan rahmatilah sahabatku ini. Al-Fatihah,” ciapnya menerusi akaun Twitter beliau malam tadi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Sungai Behrang pada jam 9.20 pagi ini.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Jamilah Nordin dan tujuh anak.
Allahyarham Mohd Khusairi, ADUN Slim selama empat penggal sejak 2004, mempunyai latar pendidikan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah bertugas sebagai pegawai akhbar untuk ADUN Sukau, Kinabatangan selama tiga tahun bermula 1988.
Anak jati Perak itu meneruskan kerjaya sebagai penyunting di Suara Bersatu milik Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1990, sebelum dilantik Setiausaha Akhbar Menteri Pembangunan Sosial Sabah selama setahun pada 1991, selain menyandang jawatan penyunting Majalah Ahli Penyokong Parlimen pada 1995 sehingga 1997. – MalaysiaGazette