KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) telah melakukan siasatan serta-merta berhubung aduan gangguan seksual yang dihadapi seorang siswinya.
Menurutnya, pelaku tersebut iaitu seorang profesor madya telah ditahan kerja dan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib.
Pelaku telah dikenakan hukuman berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun, kata Naib Canselor UM, Datuk Ir. Abdul Rahim Hashim dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, UM amat kesal dan prihatin terhadap kejadian yang menimpa pelajar yang mendakwa berdepan dengan gangguan seksual oleh seorang profesor madya.
Universiti itu juga faham akan perasaan, keresahan dan kebimbangan yang sedang dialami oleh pelajar dan keluarga.
Walau bagaimanapun, katanya, universiti itu terikat dengan tatacara pengendalian yang menuntutnya untuk menjaga kerahsiaan dan hak privasi semua pihak yang terlibat.
”Universiti Malaya ingin menegaskan bahawa kami memandang serius terhadap aduan atau laporan kes gangguan seksual yang melibatkan pelajar dan staf dan telah membangunkan pelbagai inisiatif dan program bagi mencegah gangguan seksual di kampus,” ujarnya.
Semalam, seorang siswi UM menggesa polis menyiasat kes tersebut kerana pihak universiti didakwa gagal bertindak dengan berkesan dan enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman yang telah dijalankan.
Abdul Rahim menambah, UM sentiasa bersedia mendengar dan mengambil tindakan perlu bagi meringankan beban emosi yang dialami.
”Universiti Malaya sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif dan program pencegahan serta pengendalian kes gangguan seksual supaya ianya dapat diurus dengan lebih berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette