KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyambung semula projek rintis Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya bermula Mac lalu, ke tahun depan susulan pandemik Covid-19.
Perkara itu diberitahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun katanya, langkah memperkasakan guru KAFA untuk diserap ke jawatan tetap akan terus dilaksanakan secara berperingkat.
“JPM sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melaksanakan usaha ini.
“Perkara ini akan sentiasa diperkemas dan dibuat secara berperingkat bagi memastikan hasrat penyerapan guru KAFA secara tetap dapat direalisasikan,” katanya pada sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen (Jerai-PAS), Sabri Azit yang meminta kerajaan menyatakan komitmen penarafan guru KAFA sebagai guru tetap dan berpencen.
Zulkifli menjelaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama KPM turut menyediakan modul latihan serta melaksanakan latihan kompetensi kepada guru KAFA.
Ujarnya, guru KAFA juga perlu memenuhi kelayakan ikhtisas yang menjadi elemen penting syarat dan kelayakan ditetapkan oleh JPA.
Tambah beliau, kerajaan akan melihat sejauh mana permasalahan guru KAFA itu dan menyenaraikan apa yang akan dibuat terlebih dahulu. – MalaysiaGazette