KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasruddin Hassan dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang baharu menggantikan Nik Omar Nik Abdul Aziz.
Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang baharu menggantikan Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pelantikan Nasruddin dan Mohd Redza berkuat kuasa hari ini.
Zulkifli turut menzahirkan penghargaan kepada Mohd Daud dan Nik Omar atas sumbangan dan jasa sepanjang berkhidmat dengan organisasi yang berkenaan.
“Semoga Allah SWT membalasnya dengan ganjaran setimpal,” katanya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohd Redza dan Nasruddin, Dr Zulkifli mengharapkan Yadim dan YaPEIM akan terus memacu kecemerlangan ummah.
— BERNAMA