Home Sukan Sathianathan pilih Mukhairi, Harith

Sathianathan pilih Mukhairi, Harith

Mukhairi Ajmal

KUALA LUMPUR – “Kalau Luman Hakim masih ada, saya sudah serapkannya ke dalam Selangor, tetapi dia akan ke Belgium, jadi tak guna saya serapkan kerana dia akan ke sana.”

Itulah kata-kata B. Satiananthan selepas mengambil dua pemain muda Selangor II, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Harith Haikal Adam Afkar untuk bersama skuad utama Selangor bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan bersambung tidak lama lagi.

Pengendali The Red Giants itu selama ini memang cukup terkenal sebagai seorang jurulatih yang mementingkan perkembangan pemain muda di dalam pasukannya seperti mana yang dilakukan di beberapa pasukan seperti Kelantan, ATM FA dan Felda United.

Namun Satiananthan cukup tegas dalam mementingkan kualiti serta disiplin yang tinggi berbanding hanya berbekalkan ‘reputasi’ kerana tidak mahu mana-mana pemain besar kepala atau rasa hebat.

Antara nama-nama lain yang sudah pun diserap bersama skuad utama Selangor sebelum ini adalah M. Tamil Maran dan Azrin Afiq Rusmini.

Dalam satu temubual bersama Stadium Astro, jurulatih berusia 62 tahun itu percaya dua orang pemain yang terpilih itu mempunyai masa depan yang cerah, namun ianya masih bergantung kepada diri mereka untuk berjaya di masa hadapan.

“Mukhairi dan Harith ada potensi yang besar tetapi macam saya kata, hanya disiplin dan dedikasi akan membawa karier mereka ke tahap lebih tinggi. Kalau mereka berpuas hati dengan apa yang dicapai sekarang, ia tak cukup,” ujarnya.

Sementara itu, Mukhairi yang turut ditemubual percaya pengalamannya beraksi bersama PKNP FC (Kini Perak II) musim lalu boleh membantunya untuk merebut tempat dalam skuad kendalian Satiananthan.

Jika melihat kepada senarai pemain tengah di Selangor, tentu tidak muda buat pemain berusia 18 tahun itu untuk bersaing dengan beberapa pemain lain seperti K. Sarkunan, Brendan Gan, Abdul Halim Saari dan Muhammad Safuwan Baharudin.

Tetapi beliau percaya pemilihannya untuk bersama skuad utama tentunya berdasarkan merit dan kini perlu berusaha keras untuk menambat hati Satiananthan untuk memberi peluang kepadanya membuktikan kemampuan.

“Sewaktu awal menyertai pasukan ini, saya agak takut apabila melihat jurulatih yang membawa pasukan sebesar ni. Tetapi lama-kelamaan, dia banyak memberikan semangat untuk mendorong saya dalam latihan dan dia mahu saya buat yang terbaik untuk merebut tempat,” kata Mukhairi.

Beliau juga akan mengetuai skuad bawah 19 tahun (B-19) untuk menghadapi Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan pada Oktober depan dengan membawa misi layak ke kejohanan Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahun depan. – MalaysiaGazette