Home Nasional Tarikh bicara kes rogol ADUN Tronoh 19 Okt depan

Tarikh bicara kes rogol ADUN Tronoh 19 Okt depan

Paul Yong Choo Kiong rape Indonesian maid
Paul Yong Choo Kiong.

IPOH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 19 Oktober depan untuk perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia, membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Azman Abu Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas mendapat persetujuan pihak pendakwaan dan pembelaan semasa kes disebut semula di mahkamah, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Perak, Azhar Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala Yong, 50, diwakili peguam Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.

Terdahulu, Azhar memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan terlebih dahulu sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurut Azhar, mangsa atau saksi utama kes itu telah menunggu selama setahun selain ia turut mendapat perhatian, kedua-dua negara.

Berhubung rayuan pihak Yong untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, Rajpal ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, penghakiman penuh di peringkat Mahkamah Persekutuan, masih belum bersedia.

“Rekodnya sudah siap, hanya keputusan penghakiman majoriti belum siap. Jadi masih menunggu keputusan penghakiman majoriti. Sebaik penghakiman majoriti ada, kita seharusnya dapat menetapkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Rajpal berkata, pasukan pembelaan menerima keputusan Mahkamah Sesyen yang menetapkan terlebih dahulu tarikh perbicaaran dan berharap rayuan di Mahkamah Persekutuan dapat diselesaikan sebelum 19 Oktober depan.

“Sekiranya rayuan kami diterima, kes ini akan pindah ke Mahkamah Tinggi. Kalau tidak diterima, maka dibicarakan di sini (Mahkamah Sesyen),” katanya.

Pada 5 Disember 2019, Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan Yong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, pada 10 hingga 14 Februari 2020.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di kediaman miliknya di Meru Desa Park di antara 8.15 malam dengan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya. – Bernama