Home Dunia Covid-19: Mexico perketat peraturan di destinasi pelancongan

Covid-19: Mexico perketat peraturan di destinasi pelancongan

Monumen kemanusiaan di Playa del Carmen berhampiran Cancun di Quintana Roo, Mexico, adalah tarikan pelancongan yang popular. foto Agensi

MEXICO CITY – Penularan wabak koronavirus yang masih tinggi memaksa pihak berkuasa Mexico melaksanakan peraturan ketat di destinasi-destinasi popularnya.

Pihak berkuasa pusat peranginan pantai Tulum di Caribbean akan mendenda atau menangkap mana-mana individu yang tidak memakai pelitup muka.

Ia merupakan peraturan baharu dalam yang dikenakan dalam mengekang penyebaran virus.

Sebelum ini, Presiden Andres Manuel Lopez Obrador telah melonggarkan sekatan pergerakan untuk memulihkan sektor ekonomi yang dijangka susut 10% tahun ini, telah menggalakkan orang ramai untuk keluar tetapi enggan mengenakan kawalan di seluruh negara.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa tempatan jika tidak mengambil langkah berjaga-jaga, kesan terhadap kehidupan rakyat akan menjadi lebih teruk.

”Kita tidak boleh mempertaruhkan kesihatan rakyat,” kata Datuk Bandar Tulum, Victor Mas Tah.

Langkah-langkah Tulum adalah sebahagian daripada pendekatan untuk memutuskan rantaian koronavirus di negeri Quintana Roo, yang gabenornya, Carlos Joaquin, disahkan positif Covid-19.

Lokasi kepada pusat pelancongan terkenal Cancun, Quintana Roo mempunyai salah satu kadar kes aktif per kapita tertinggi di Mexico, menurut data kementerian kesihatan Mexico.

Mexico, yang kini merekodkan jumlah kematian keempat tertinggi di dunia akibat koronavirus, telah melaporkan sebanyak 36,906 kes kematian dan 317,635 jangkitan.

Jumlah jangkitan harian masih mencapai paras tertinggi minggu lalu. – MalaysiaGazette