Home Nasional ERYSAA, produk biosimilar pertama negara dapat sijil halal

ERYSAA, produk biosimilar pertama negara dapat sijil halal

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Urusan VentureTech, Dr Norida Abdul Rahman (kiri) dengan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Bhd, Leonard Ariff Abdul Shatar (kanan) pada Majlis Menandatangani MOU bersama Venturetech dan Duopharma Biotech di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Malaysia bakal menghasilkan teknologi biosimilarnya sendiri bagi tujuan rawatan kanser dan penyakit kronik lain apabila kemudahan perubatan itu siap menjelang tahun 2024.

Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penghasilan Biosimilar bagi menggantikan teknologi biologik di mana patennya akan tamat dalam masa terdekat.

“Saya merakamkan tahniah kepada pihak Venturetech, Duopharma dan Pangen Biotech atas usahasama pada hari ini.

“Ia satu usahasama antara dua syarikat pharma yang dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan juga syarikat Korea Pangen Biotech.

“Saya difahamkan Duopharma ada juga pemilikan ekuiti dalam Pangen Biotech akan buat satu usahasama Biosimilar Production sendiri secara komersial yang pertama di Malaysia untuk menghasilkan Biosimilar yang digunakan untuk rawatan kanser dan penyakit-penyakit kronik yang lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara tiga syarikat terbabit di sini hari ini.

Dalam perkembagan sama, produk pertama Biosimilar itu jelasnya mendapat pensijilan halal daripada agensi pensijilan halal dari Korea.

“Produk pertamanya ialah ERYSAA adalah (Erythropoietin) iaitu Biosimilar yang pertama mempunyai pensijilan halal.

“Saya difahamkan sudah pun dapat pensijilan halal daripada agensi pensijilan halal Korea dan masih dalam proses untuk mendapatkan pensijilan daripada pihak Jakim,” katanya.

Katanya lagi, beliau optimis dengan pembangunan Biosimilar sebagai salah satu cabang pelaburan baharu Malaysia dalam industri perubatan.

“Ini satu perkembagan yang sangat positif, boleh dikatakan pelaburan pertama yang besar dalam sektor Biosimilar daripada syarikat Malaysia.

“Kita melihat sektor perubatan kita terhadap Biologik dan Biosimilar semakin meningkat. Mungkin sebelum ini dalam kalangan pakar perubatan kita mereka mungkin berapa nak prescribe Biosimilar.

“Tetapi sekarang mereka lebih memahami Biosimilar dan biologik dan mereka lebih yakin menggunakan produk-produk seperti ini.

“Saya yakin ini adalah satu pelaburan yang baik daripada pihak Venturetech yang sentiasa melihat kepada sektor yang mempunyai pertumbuhan besar terutamanya dalam sektor perubatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette