Home Sukan Liga-M disambung semula, Selangor dan Pahang optimis beri cabaran

Liga-M disambung semula, Selangor dan Pahang optimis beri cabaran

B Sathianathan

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Selangor, B. Sathianathan optimis pasukannya berada di landasan tepat menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bersambung secara rasmi bermula 26 Ogos ini.

Sathianathan berkata perubahan dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menyaksikan saingan Liga-M diawalkan seminggu daripada perancangan asal pada 1 Sept tidak memberi sebarang tekanan kepada barisan kejurulatihannya dalam mempersiapkan pemain.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, perkembangan prestasi pemain skuad Gergasi Merah sejak memulakan sesi latihan berpasukan bulan lepas berada pada tahap memuaskan dan ia masih boleh dipertingkatkan sebelum saingan bermula.

“Walaupun kita terpaksa main tujuh perlawanan dalam jangka masa kira-kira 24 hari, kita mempunyai tempoh masa yang panjang untuk melakukan persediaan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

“Pasukan kini berada di landasan yang betul, bukan nak kata mereka sudah capai 100 peratus kecergasan seperti sebelum ini tetapi komitmen dan perkembangan ditunjukkan sangat memuaskan dan mengikut perancangan,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

MFL hari ini mengesahkan saingan Liga-M yang tertangguh sejak Mac lepas akibat penularan wabak COVID-19, akan disambung semula pada 26 Ogos dan dijangka berakhir pada 23 Sept dengan dua aksi tertunda akan berlangsung 22 Ogos ini.

Selangor berada di tangga kelima Liga Super, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas bergelut pada permulaan musim apabila sekadar mencatat satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam empat aksi pertama.

Sementara itu, pengesahan tarikh saingan Liga-M itu melegakan ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang menyifatkan keputusan mengawalkan saingan tersebut tidak akan mendatangkan perbezaaan ketara.

Beliau berkata tempoh masa yang ada mencukupi untuk beliau merencanakan program latihan buat pasukan selepas barisan pemainnya menampilkan tahap kecergasan kurang memuaskan ketika mula menjalani latihan berpasukan, dua minggu lepas.

“Tak banyak beza…26 Ogos dengan 1 Sept. Bagi saya okey, yang penting kita sudah tahu kita mempunyai sebulan lebih untuk melakukan persiapan rapi.

“Pemain semua tidak cergas dan kelihatan sedikit bergelut dalam latihan ketika minggu pertama latihan berpasukan tetapi nampak perubahan dan pemain mula dapat sentuhan masing-masing pada minggu kedua,” katanya.

Selepas empat perlawanan, Pahang berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan mengumpul enam mata hasil dua kemenangan pertama.- BERNAMA