KUALA LUMPUR – MRT Laluan Kajang diyakini bukan saja mampu bangkit daripada impak pandemik Covid-19 malah dalam masa sama penggunaannya dijangka meningkat, seterusnya menjadi penyumbang besar dalam merealisasikan sasaran kerajaan mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, berdasarkan pola jumlah penumpang rel urban, perkhidmatan MRT Laluan Kajang dilihat berpotensi untuk terus berkembang dan berkeupayaan menggantikan LRT Laluan Kelana Jaya sebagai penyumbang terbesar daripada aspek jumlah penumpang rel kendalian syarikat itu.
“MRT SBK (Transit Aliran Massa Laluan Sungai Buloh – Kajang), yang kini bergelar MRT Laluan Kajang, telah meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju dari segi kemudahan pengangkutan awam.
“Jumlah penumpang juga telah meningkat dengan baik; dan semakin ramai mula melihat menaiki pengangkutan awam rel sebagai suatu yang amat memudahkan.
“Kami percaya dengan pertumbuhan bandar-bandar baru di jajaran berkenaan, jumlah penumpang akan terus meningkat,” katanya dalam satu kenyataan sempena tiga tahun MRT Laluan Kajang beroperasi hari ini.
Antara projek-projek pembangunan utama sepanjang jajaran MRT Laluan Kajang adalah hab komersial integrasi berhampiran Stesen Kwasa Damansara, pembangunan di sekitar Stesen Kwasa Sentral, Pavilion Lifestyle Mall dekat Stesen Pusat Bandar Damansara, Menara The Exchange 106 berhampiran Stesen Tun Razak Exchange dan Menara KL 118 yang berdekatan dengan Stesen Merdeka.
Selepas pembukaan 14 stesen untuk fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan pada 16 Disember 2016, perkhidmatan MRT dibuka sepenuhnya untuk semua 35 stesen pada 17 Julai 2017, sekali gus membuka era baru dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.
Hanya dalam tempoh 15 hari beroperasi ia membawa 676,495 penumpang, yang mana sebahagian besar pengguna dari luar Selangor yang datang semata-mata untuk menikmati pengalaman hebat menaiki MRT.
MRT Laluan Kajang membawa 22,350,508 penumpang pada 2017 dan bilangannya meningkat lebih sekali ganda setahun selepas itu sebanyak 51,314,240 orang.
Pada tahun lalu MRT Laluan Kajang mencatat 63,952,805 penumpang dan eningkatan itu disokong oleh inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 yang diperkenalkan oleh Prasarana bermula pada 1 Januari 2019.
“Malangnya, momentum ini terjejas pada tahun 2020 kerana penularan wabak COVID-19 dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.
Malahan, sekarangpun, kita masih dalam tempoh PKP; sehingga 31 Ogos. Tetapi, nyata, pola jumlah penumpang kami untuk MRT dan semua perkhidmatan-perkhidmatan lain semakin baik; walaupun masih jauh daripada angka-angka sebelum PKP,” tambah beliau.
Kata Nizam, daripada purata jumlah penumpang harian atau untuk MRT Laluan Kajang pada 2019 adalah sebanyak 200,000 penumpang, ia menurun kepada hanya 80,000 untuk enam bulan pertama 2020, selepas hampir empat bulan telah terjejas teruk kerana ancaman wabak Covid-19 membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MRT Laluan Kajang pernah membawa 250,467 penumpang sehari yang direkodkan pada 31 Disember 2019. – MalaysiaGazette