LONDON – Penggodam-penggodam disokong oleh negara Rusia cuba mencuri data penyelidikan vaksin dan rawatan Covid-19 daripada institusi akademik dan farmasi di seluruh dunia, kata Pusat Keselamatan Siber Nasional (NCSC) Britain.
Pusat Keselamatan Siber Nasional Inggeris (NCSC) mendakwa penggodam “hampir pasti” beroperasi sebagai “sebahagian daripada perkhidmatan perisikan Rusia”.
Namun ia tidak memaklumkan organisasi mana yang menjadi sasaran, atau apakah ada informasi yang dicuri.
Dalam satu kenyataan itu dikeluarkan oleh Britain, Amerika Syarikat dan Kanada, negera-negara itu mengaitkan serangan itu dengan kumpulan APT29, juga dikenali sebagai Cozy Bear.
Dakwa negara-negara itu, APT29 hampir pasti beroperasi sebagai sebahagian daripada perkhidmatan perisikan Rusia.
“Kami mengecam serangan keji ini terhadap mereka yang sedang bertungkus-lumus memerangi wabak koronavirus,” kata Pengarah Operasi NCSC, Paul Chichester.
Penyelidik keselamatan siber mendakwa alat penggodaman APT29 digunakan terhadap pelanggan yang berada di Amerika Syarikat, Jepun, China dan Afrika sejak tahun lalu.
Agensi berita Rusia, RIA memetik jurucakap Dmitry Peskov yang menolak tuduhan London, yang menurutnya tidak disokong oleh bukti yang tepat.
Dalam pengumuman berasingan, Britain juga menuduh “pelakon Rusia” cuba campur tangan dalam pilihan raya 2019 dengan berusaha menyebarkan dokumen yang dibocorkan secara dalam talian.
Kementerian luar negeri Rusia mengatakan tuduhan itu “berkabut dan bertentangan”.
Menteri Luar Negeri Britain, Dominic Raab berkata, beliau, “tidak dapat diterima’ tindakan perkhidmatan perisikan Rusia yang mensasarkan kerja-kerja menangani wabak tersebut.
NCSC berkata, serangan kumpulan itu berterusan dan menggunakan pelbagai perkakasan dan teknik.
“APT29 mensasarkan organisasi yang terlibat dalam penelitian dan pengembangan vaksin Covid-19,” katanya.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Komando Siber Amerika Syarikat juga mengeluarkan maklumat teknikal pada hari Khamis mengenai tiga alat penggodaman yang dikerahkan oleh penggodam Rusia, dengan nama kod WELLMAIL, SOREFANG dan WELLMESS.
Penyelidik keselamatan siber sektor swasta yang telah melihat perisian WELLMESS sejak tahun lalu tidak menyedari asal usul Rusia hingga hari Khamis. – MalaysiaGazettedata