KUALA LUMPUR – Semangat patriotik dan kebanggaan menjadi warga Malaysia tidak cukup dengan mengibarkan Jalur Gemilang ‘dalam hati’ sahaja.
Sebaliknya, Jalur Gemilang yang menjadi identiti Malaysia perlu dikibarkan ruang angkasa.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar berkata, kibaran Jalur Gemilang adalah tanda rasa berterima kasih setiap rakyat kepada negara yang aman dan harmoni selama ini.
Katanya, bagi tujuan itu kementeriannya melaksanakan program Info On Wheel-Merdeka untuk menyemarakkan lagi kibaran Jalur Gemilang di kediaman dan bangunan premis perniagaan di seluruh negara.
Program ini buat permulaan dilancarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Penerangan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada bulan Ogos ini menerusi unit-unit dan agensi berkuasa termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia.
Ia juga bermatlamat menyebar dan menghebahkan mesej kenegaraan di samping menjayakan kempen Jalur Gemilang, sekaligus cetuskan semangat patriotisme dalam hati rakyat dan semarakkan sambutan Ogos ini.
“Program ini disusun dalam tiga strategi dan setiap empat kali seminggu, sekitar 50 unit Jalur Gemilang akan diedar dan dipasang untuk setiap program hebahan. Usaha menyemarakkan sambutan kali ini juga dibuat menerusi lagu patriotik yang bermula semalam 16 Julai sehingga 30 Ogos ini,” kata Santhara selepas melancarkan program tersebut di Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Jalan Pahang di sini.
Menurutnya, program kibar Jalur Gemilang juga akan disemarakkan di sekolah-sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan seterusnya diperluaskan oleh majikan-majikan dan premis perniagaan.
Mengulas sikap rakyat yang setiap tahun bergantung kepada kerajaan atau kempen-kempen sambutan untuk mendapatkan Jalur Gemilang secara percuma,beliau berkata, setiap individu perlu menunjukkan cinta kepada negara.
“Adakalanya bila saya tanya rakan seperjuangan dan kawan saya, dia kata saya kibarkan Jalur Gemilang dalam hati saya setiap hari. Jadi kadang-kadang rakyat mempunyai pelbagai cara tunjukkan kesetiaan kepada negara,” ujarnya.
Selain itu, menyanyikan lagu kebangsaan NegaraKu, pembacaan Rukun Negara juga diwajibkan sebagai kaedah memupuk rasa cinta kepada negara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pembekal dan peniaga supaya memastikan kos jualan Jalur Gemilang adalah berpatutan supaya setiap rakyat mampu memiliki dan mengibarkan bendera tanpa sebarang kekangan. – MalaysiaGazette