Home Utama Sembilan individu ditahan reman 6 hari bantu siasatan SPRM

Sembilan individu ditahan reman 6 hari bantu siasatan SPRM

Lima kakitangan Kementerian Kewangan (MoF) dan empat orang awam diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan reman bagi kes menguruskan pendaftaran akaun ePerolehan kementerian berkenaan tanpa mengikut prosedur dan syarat ditetapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Sembilan individu direman selama enam hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa pendaftaran akaun baharu e-perolehan melibatkan sebuah kementerian.

Perintah tahanan reman terhadap lapan individu terbabit dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di sini sehingga 22 Julai 2020 bagi membantu siasatan mengikut Sekysen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu sembilan individu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 9 pagi tadi berpakaian lokap SPRM berwarna oren dengan tangan bergari.

Kesemua mereka dibawa dengan menaiki sebuah van berwarna putih dan dua kenderaan lain diiringi oleh pegawai SPRM.

Mereka terbabit berusia antara 30 hingga 47 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam urusan permohonan status Bumiputera syarikat di sekitar Lembah Klang.

Kesemua sembilan individu terbabit terdiri daripada tiga wanita penjawat awam, dua lelaki penjawat awam dan empat orang awam.

Semalam, SPRM menahan mereka di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam satu operasi di sebelah petang dan seorang lagi di sebelah malam di sebuah pejabat di Putrajaya.

Menurut SPRM, sindiket itu aktif beroperasi sekitar 2017 hingga 2019 dengan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM3,500 untuk setiap permohonan.

Status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam dan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Daripada sembilan yang ditahan itu, lima individu merupakan kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat kementerian itu manakala yang lain adalah orang awam.

Kesemua suspek direman tujuh hari di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette