MADRID- Real Madrid akhirnya sah bergelar juara La Liga Sepanyol semalam dengan berbaki satu perlawanan lagi.
Dalam aksi di Santiago Barnabeu awal pagi tadi, Karim Benzema muncul sebagai wira the Galacticos menyumbat dua gol penting pada awal minit ke-29 dan sepakan penalti pada minit ke-77 sebelum menang 2-1 menentang Villareal.
Manakala gol tunggal pasukan tetamu hadir menerusi Iborra pada minit ke-83.
Pengurus pasukan Real, Zinadine Zidane menyifatkan kemenangan gelaran La Liga buat julung kali dalam kariernya dalam tempoh tiga tahun ini merupakan kegembiraan paling bermakna untuk dirinya.
Katanya, gelaran itu membuatkan lebih teruja berbanding saat menjulang gelaran Juara Eropah tiga musim berturut-turut sebelum ini.
Untuk rekod sejak La Liga diteruskan semula pada Jun lalu, anak buah Zidane menang kesemua 10 perlawanan setakat ini.
Barcelona terpaksa berpuas hati dengan 79 mata menerusi 37 perlawanan setakat semalam.
Ia merupakan gelaran ke-34 untuk Real Madrid iaitu lebih lapan daripada Barcelona yang memiliki 26 gelaran La Liga.
Semalam selepas perlawanan itu pasukan itu menjulang gelaran La Liga di stadium tanpa penonton itu.
“Memang benar saya selaku jurulatih memainkan peranan, tetapi pemain di atas padang yang perlu dipuji kerana mereka yang bertarung mati-matian untuk gelaran ini.
“Saya tidak mempunyai kata-kata buat masa ini, kerana sangat beremosi selepas bergelar juara La Liga malam tadi,” katanya.
Kata Zidane walaupun teruja dan meraikan gelaran La Liga, tumpuannya kini beralih sepenuhnya menjelang perlawana Liga Juara-Juara menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester, England 7 Ogos ini.
Juara La Liga itu yang ketinggalan 1-2 dari segi agregat dalam aksi pertama mempunyai misi sukar untuk mengubah keputusan itu kepada kemenangan di Etihad.- MalaysiaGazette