Home Nasional Hikmah di sebalik pandemik

Hikmah di sebalik pandemik

Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada Majlis Pelancaran Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Foyer, Dewak Filharmonik Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Meskipun wabak Covid-19 memberi cabaran yang bukan kecil kepada negara dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baru sahaja dilantik untuk menerajui kerajaan, namun beliau masih cuba mencari sisi positif di sebalik ujian ini.

Ketika berucap melancarkan Program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020, Perdana Menteri berkata, antara hikmah di sebalik pandemik Covid-19 adalah kebanyakan komuniti mula beralih kepada penggunaan teknologi digital yang lebih meluas.

Katanya, dalam tempoh enam bulan pertama 2020, sebanyak 79,274 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan telah memanfaatkan platform e-dagang.

Jumlah tersebut menurut beliau, melebihi sasaran kerajaan untuk melatih 50,000 PKS dalam setahun.

Tambahnya, Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan penjualan runcit dalam talian turut mencatatkan peningkatan sebanyak 39.3 peratus pada Mei 2020 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Aktiviti e-dagang juga menurutnya, mencatat peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding April 2020.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemasaran produk -produk PKS tempatan terutamanya di rangkaian pasar raya dan pasar raya besar telah mencatatkan nilai hasil jualan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM667 juta pada 2019, peningkatan sebanyak 307.6 peratus berbanding 2015.

“Kerajaan sememangnya memberikan perhatian kepada produk keluaran tempatan.

“Ini diiterjemahkan menerusi dasar kerajaan yang merangkumi penyediaan insentif kepada perniagaan tempatan untuk membina keupayaan terutamanya dalam peningkatan kualiti produk dan pembungkusan, memberikan keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan kerajaan serta penganjuran program pemasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Program eTrade yang dijalankan oleh Matrade membantu usahawan untuk memulakan perniagaan eksport atas talian dengan menyediakan bantuan kewangan sebanyak RM5,000 untuk menampung sebahagian kos berkiatan penyenaraian dalam platform e-dagang antarabangsa.

Sejak program tersebut dilaksanakan pada Oktober 2014, sebanyak 4,172 syarikat telah mendapat faedah daripada program tersebut.

Antara pasaran yang telah ditembusi adalah Aerika Syarikat, Jepun, Arab Saudi, India, Mauritus, Panama,dan China.- MalaysiaGazette