Home Nasional Moratorium pelancongan: Menteri mahu lihat dulu kesan negatif pemain industri

Moratorium pelancongan: Menteri mahu lihat dulu kesan negatif pemain industri

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada program lawatan Penyemarakkan Pelancongan Domestik ke Kuala Lumpur turut bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan melanjutkan tempoh moratorium kepada industri pelancongan dengan menkajiĀ kesan negatif yang dialami pihak yang terlibat dalam tempoh pasca Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau akan memantau perkembangan semasa industri berkenaan dalam waktu terdekat.

“Tentang moratorium, kita masih belum lagi buat apa-apa keputusan kerana ianya masih baru bermula, ini bergantung kepada keadaan kalau ianya menjadi satu suasana yang betul-betul akan memberi kesan negatif (kepada industri pelancongan) mungkin kita akan boleh mengenengahkan ini kepada kerajaan.

“Kami di Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan memainkan peranan ini kerana kami adalah kementerian yang paling dekat dengan industri-industri dan yang melibatkan rakyat di luar sana sebab itu kami memainkan peranan itu tapi kami memang memantau,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Program Menyemarakkan Pelancongan Domestik diĀ di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Sebelum ini Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan lagi buat industri pelancongan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata, ini perlu memandangkan sektor itu adalah antara penyedia pekerjaan utama dan penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Sementara itu, Nancy berkata, beliau dimaklumkan sebanyak 36 hotel seluruh negara terjejas akibat pandemik Covid-19 sehingga terpaksa memberhentikan pekerjanya.

“Kita dimaklumkan dari segi hotel ada 36 yang memberhentikan pekerja. Tidak pasti sama ada memberhentikan secara kekal atau pun hanya sementara,” katanya. – MalaysiaGazette