Home Nasional ABIM sokong pinda akta untuk perkasa bahasa Melayu

ABIM sokong pinda akta untuk perkasa bahasa Melayu

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut positif usaha meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 (Semakan 1978, Pindaan dan Perluasan 1995) untuk memperkasa penggunaan bahasa Melayu di negara ini.

Usaha ini adalah medium penting memperkukuhkan peranan institusi seterusnya
mampu memartabat bahasa, sastera dan ilmu dalam kalangan rakyat, kata Presiden ABIM, Muhammad Faisal abdul Aziz.

Menurutnya, draf pindaan terhadap Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1963/67
(dikenali juga sebagai Akta 32) yang memberi kuasa kepada DBP dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan penggunaan Bahasa Melayu telah pun diusahakan semenjak awal 2019.

Seksyen 2 Akta 32 tersebut menetapkan segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

Oleh itu, katanya, ABIM menyokong sebarang usaha bagi menyatukan undang-undang berhubung penggunaan bahasa kebangsaan bagi memastikan penggunaan bahasa yang betul.

”Hakikatnya, Bahasa Melayu belum betul-betul diangkat sebagai bahasa cerminan jati diri negara dalam majlis rasmi, mesyuarat dan pelbagai acara lain.

”Sehingga ke hari ini, masih terdapat program rasmi dijalankan oleh pihak kerajaan yang
meminggirkan bahasa kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sesungguhnya, ABIM menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 152, Akta 32, Akta DBP dan Akta Pendidikan (1961, Pindaan 1996) seharusnya menjadi lunas undang-undang negara dalam mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke landasan yang sewajarnya.

Dalam sektor pendidikan, Program Dwibahasa (Dual Language Program – DLP), pengajaran mata pelajaran berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan arahan penggunaan bahasa Inggeris dalam sesi kuliah di universiti bagi jurusan sains dan teknologi, perubatan, undang-undang serta kejuruteraan nyata merencatkan agenda menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang ilmu dan pendidikan.

Tambahnya, seharusnya diberikan bagi memastikan DBP selaku pemegang taruh mempunyai lebih tanggungjawab serta peranan penguatkuasaan, dan bukan hanya ‘menegur dan menasihat’, bagi menjamin kelangsungan serta kewibawaan badan berkanun ditubuh pada 22 Jun 1956 itu. – MalaysiaGazette